22 December 2021

TERATAK ROSAK DEK LUMPUR BANJIR - YUSOF HASLAM BERSYUKUR TIDAK MUSNAH, MESKIPUN TANGGUNG KERUGIAN



"Pagar yang mengelilingi kediaman saya runtuh. Bahagian dalam rumah termasuk perabot dan peralatan elektrik, separuh daripadanya rosak serta diselaputi selut dan lumpur. Habis diselaputi lumpur tebal dan mungkin mengambil masa untuk dibersihkan. Bagi mengelak kerosakan lebih teruk, saya terpaksa meminta bantuan pekerja membersihkan kediaman berkenaan.

"Saya bimbang jika lumpur dibiarkan terlalu lama sehingga kering, kerja pembersihan sukar dilakukan dan kerosakan akan lebih teruk," kata pemilik empayar Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam mengenai rumah persinggahan, Teratak miliknya di Batu 22, Hulu Langat, yang rosak akibat dibanjiri selut dan lumpur dalam bencana banjir, Jumaat lalu.

Yusof yang memiliki rumah persinggahan berkenaan sejak 2004, memberitahu, bencana alam itu paling buruk berlaku di tanah miliknya sejak mula menduduki kawasan terbabit. Sebelum ini, jika banjir, air naik sehingga paras betis di laman rumah itu.

Dalam masa sama, Yusof yang hanya berpeluang melawat rumah persinggahan itu, semalam berikutan air naik dan sekatan laluan memberitahu, rumah kayu tiga kaki itu dimasuki air. Berikutan kerosakan itu, Yusof menganggarkan kos pembaikan antara RM50,000 dan RM100,000.

Klik untuk gambar besar



Yusof terpaksa mengarahkan penggambaran drama 'Gerak Khas Undercover' dihentikan kira-kira 10 hari bagi membolehkan pekerja membantu kerja pembersihan. Biarpun terpaksa menanggung kerugian, Yusof bersyukur kediamannya tidak musnah seperti dialami pelawak Ebby Yus dan penduduk setempat.

"Walaupun kerja penggambaran baru bermula selepas hampir empat bulan tertangguh akibat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan saya serta kru dijangkiti C0V1D, tiada cara lain.

"Saya terpaksa menghentikan penggambaran sementara waktu dengan meminta pekerja membantu proses membersihkan Teratak Haslam secara sukarela. Insya-Allah, tenaga mereka tidak digunakan percuma. Saya sediakan imbuhan buat mereka. Apa yang penting, saya mahu bersihkan rumah tukang kebun sebelum ruang lain di teratak itu.


"Saya hanya sempat menjenguk semalam berikutan laluan yang menghubungkan kediaman saya terputus akibat banjir. Saya juga terputus hubungan dengan penjaga rumah berikutan talian telefon dan internet tidak dapat digunakan. Biarpun rumah saya rosak, saya tetap bersyukur Allah masih membantu melindungi rumah itu. Orang lain berdepan nasib lebih teruk apabila rumah mereka habis ranap seperti dialami Ebby," ujarnya.

Tambah Yusof, pemerhatiannya mendapati, laluan dari Batu 14 hingga Batu 22, kebanyakannya rosak: "Tebing sungai terhakis. Jadi, kebanyakan jalan raya cuma dibuka satu lorong. Ini mengakibatkan kesesakan jalan raya. Saya juga sedih melihat banyak kenderaan tersadai akibat banjir. Keadaan di sana tidak ubah seperti dilanda tsunami," tuturnya.

Berikutan ramai pemilik kediaman mahu membaiki kerosakan, Yusof mengadu sukar mendapatkan kontraktor. Beberapa kontraktor dihubungi masing-masing sudah terikat dengan kerja yang ditempah lebih awal. Sehubungan itu, Yusof masih berusaha mendapatkan khidmat kontraktor agar Teratak Haslam yang menjadi tempat dirinya dan keluarga beristirahat, pulih semula.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: