23 December 2021

TIDAK BERADA DI RUMAH - ASFARINA BERSYUKUR DIA & KELUARGA TERSELAMAT DARIPADA BANJIR



"Pada majlis itu, saya dihubungi adik yang berada di rumah dan beritahu kawasan perumahan kami dinaiki air serta banyak jalan ditutup. Sebaik mendengar berita itu, kami agak panik. Mujur saya meminta adik tengokkan rumah sementara kami keluar. Nasib baik saya tergerak hati bawa anak. Kalau tidak, tidak tahulah nasib mereka. Anak bongsu saya autisme.

"Dia memang pantang tengok air kerana menyangka itu kolam renang. Sebaik pulang ke rumah, saya terkejut melihat keadaan sekeliling. Sepanjang 16 tahun tinggal di sini, ini kali pertama kawasan perumahan kami dinaiki air. Hilang kata-kata apabila tengok rumah penuh lumpur.

"Tiga motosikal rosak sekelip mata. Hendak buat macam mana, kami reda dengan apa yang berlaku, tidak dapat dibayangkan apa akan berlaku jika saya dan suami tinggalkan mereka di rumah tanpa pengawasan sesiapa," itulah kata vokalis utama kumpulan Feminin, Asfarina Muhamad atau mesra disapa As yang bersyukur apabila dia dan keluarganya terselamat daripada musibah banjir.

Jika bukan ajakan suami menghadiri acara di ibu negara, Jumaat lalu, Asfarina tidak menolak kemungkinan berdepan saat getir apabila kediaman mereka di Batu 14, Hulu Langat, dinaiki air. As, 46, bersyukur dia dan anak terselamat daripada bencana banjir selepas bersetuju mengikut suami, bekas bintang bola sepanegara, Azman Adnan menghadiri acara di ibu kota.

Klik untuk gambar besar



Lebih melegakan, anak bongsu yang mengalami autisme, cukup pantang melihat air. Anaknya itu pasti menyangka banjir sebagai kolam renang, andai berada di rumah ketika itu. As berkata, banyak barang berharga milik mereka musnah termasuk tiga motosikal. Berikutan bekalan air di kawasan perumahan mereka terputus, ibu kepada empat cahaya mata ini menginap di hotel buat sementara waktu.

"Risau melihat keadaan rumah yang masih kotor dan dipenuhi lumpur merah. Takut nanti apabila kering, susah hendak mencucinya. Kami masih menunggu bekalan air disambung. Dengan keadaan rumah yang tunggang langgang dan atas faktor keselamatan, kami menginap di hotel buat sementara waktu.

"Apabila keadaan sudah kembali seperti sedia kala baru kami pulang," jelas As turut berkongsi bencana banjir yang melanda kawasan perumahannya melalui entri di Facebook (FB).

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: