"Tiada apa yang sempat diselamatkan melainkan dokumen penting. Rumah saya tidak ubah seperti filem Tiga Abdul, lapang berikutan banyak perabot rosak akibat tiga hari berendam dalam air. Kali terakhir kampung kami dilanda banjir pada 2010. Tetapi, ketika itu, tidaklah teruk.
"Sebelum ini, air hanya naik paras pinggang. Kali ini, seluruh rumah tenggelam," itulah ujar penyanyi yang popular dengan lagu 'Nurani' pada 1997, Eisya apabila dia kini tinggal sehelai sepinggang selepas kediamannya ditenggelam banjir besar yang tidak ubah seperti tsunami, Sabtu lalu.
Air yang naik pantas menyebabkan kediaman setingkat didiami Eisya, suami, anak dan ibu di Kampung Sri Aman, Puchong, ditenggelami air. Banjir turut memusnahkan studio milik adik Eisya yang terletak di belakang rumah, tiga kenderaan dan empat motosikal milik keluarga penyanyi itu.
Menceritakan detik cemas itu, Eisya berkata, sejurus melihat air naik, mereka mahu mengalihkan kenderaan. Jelas Eisya lagi, mereka terpaksa berjalan sejauh 1.5 kilometer berkaki air dan melawan arus demi menyelamatkan diri ke jalan besar.
"Namun, apabila air naik dengan cepat dan deras, kami tunggu sebentar, kalau-kalau air surut. Tidak sangka pula air makin naik. Lalu kami meredah banjir menuju ke jalan besar bagi menyelamatkan diri.
"Kami terpaksa menumpang di rumah adik ipar kepada adik saya. Selepas air surut, Selasa lalu, saya dan suami membuat keputusan pulang ke rumah. Walaupun keadaan tidak sempurna apabila terpaksa tidur beralaskan tikar, kami reda. Kami lebih selesa berada di rumah sendiri kerana tidak mahu menyusahkan orang lain," katanya.
Namun, Eisya terkilan kerana dakwanya, tiada mana-mana pihak memasuki kawasan perkampungan itu untuk membantu: "Mujur ada bantuan daripada perseorangan dan bekas suami, jika tidak, mungkin keadaan menjadi lebih sukar.
"Bantuan disediakan di Pusat Penempatan Sementara (PPS). Namun, bagaimana kami hendak ke sana dengan tiada kenderaan? Kami perlu berjalan sejauh tiga kilometer ke PPS untuk mendapatkan bantuan," tuturnya.
Eisya berkata, keadaan mangsa yang bersesak-sesak di PPS juga menyebabkan dia memilih tinggal di rumah sendiri kerana bimbang penularan COVID-19. Apatah lagi, Eisya yang kini berpurdah, lebih selesa berada di rumah. Eisya mengaku buntu apabila teman-teman bertanya bentuk bantuan diperlukan.
"Memang jika diikutkan, tiada apa-apa yang tinggal. Ada yang bertanya bantuan apa yang diperlukan. Saya tidak tahu hendak cakap apa kerana semua barang dalam rumah musnah.
"Dalam keadaan diuji sebegini, kami amat berbesar hati jika ada pihak sudi menghulurkan sebarang bantuan. Kami reda dengan apa yang berlaku. Apa yang penting nyawa ibu dan anak-anak selamat," katanya yang baru mendirikan rumah tangga dengan seorang guru tahfiz, tahun lalu.
Untuk makluman, Eisya pernah mendirikan rumah tangga pada 2002. Namun, berpisah pada 2015. Sejak itu, Eisya kembali menetap bersama ibunya di Puchong. Hasil perkahwinan pertamanya, Eisya dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Kasih Muhammad Haikal, 18, Kasih Muhammad Faris, 14, dan Kasih Ayesha Yasmin, 9.
________________________
No comments:
Post a Comment