20 December 2021

FOUZIAH GOUS KETUK PINTU, BANTU MANGSA TERKANDAS DI DALAM KERETA



"Saya ingin berkongsi pengalaman dua hari lalu, yang mana saya mengetuk pintu kereta mereka yang terkandas di lebuhraya dan rata-rata adalah orang tua. Situasi itu sangat menyedihkan kerana mereka tidak tahu arah mana hendak pergi.

"Jadi, saya meminta mereka berpusing (pandu) melawan arus untuk ke pusat perpindahan sementara (PPS) di Masjid Bukit Jelutong. Di sana, ramai yang menghulurkan bantuan buat mangsa banjir. Ramai golongan tua yang terkandas ini kerana pada hujung minggu mereka sudah biasa menghadiri kenduri dan sebagainya.

"Saya mengetuk pintu kereta sekitar jam 12 tengah malam sehingga 5 pagi untuk memberikan makanan dan sedikit informasi buat mereka," kata pelakon dan usahawan, Datin Fouziah Gous, 39, yang berkongsi pengalaman membantu mangsa yang terkandas di dalam kereta akibat bencana banjir yang melanda negara sejak dua hari lalu.

Kongsi Fouziah, rata-rata yang terperangkap dalam kereta di lebuhraya majoritinya golongan berusia dan bukan berasal dari ibu kota. Namun sebagai insan yang prihatin, Fouziah juga tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar Bukit Jelutong berhampiran rumahnya.

"Apa yang boleh saya puji rakyat Malaysia memang sangat bagus dan terkesima juga dengan kemuliaan hati semua. Betul, yang betul-betul hendak membantu rakyat adalah rakyat sendiri. Allah SWT menggerakkan hati mereka untuk turun padang membantu.

"Biarpun tidak mempunyai kelengkapan lengkap dan canggih, namun hati tidak tenang untuk berehat di rumah tanpa membantu. Malah, pekerja saya juga ada menghantar mesej sambil menangis kerana baru membantu menyempurnakan jenazah.

"Namun, saya juga ingin berpesan kepada segelintir pihak supaya tidak menyebarkan informasi salah kepada orang ramai. Contohnya keadaan tidaklah seteruk seperti yang digembar-gemburkan kerana mendatangkan masalah kepada pihak yang ingin membantu," ujarnya.

Apa pun, bak kata pepatah... berat sama dipikul, ringan sama dijinjing yang membawa maksud suka duka sama-sama ditanggung.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: