10 December 2021

GMIE SCREEN KEMBALI KE RAHMATULLAH



Setelah hampir dua tahun diuji dengan penyakit buah pinggang berlubang, akhirnya Gmie Screen menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 2.30 pagi tadi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Ia disahkan oleh pengurus peribadi Allahyarham, iaitu Fuad Syahrin Misbah, yang memberitahu sepanjang tempoh sakitnya, Allahyarham lebih senang tidak menghebahkan keadaan kesihatannya kepada umum.

“Beliau tidak mahu kawan-kawan dan peminatnya terlalu memikirkan penderitaan yang dilalui. Selagi boleh melaluinya, Allahyarham tidak mahu susahkan sesiapa.

“Saya sendiri hanya mengetahui mengenai sakitnya selepas setahun beliau disahkan oleh doktor berhadapan masalah itu,” kata Fuad.

Menurut anak Allahyarham, Siti Hadirah, beberapa hari sebelum ini, ayahnya kurang sihat dan hilang selera makan. Bahkan, kata Siti Hadirah, Allahyarham juga pengsan di rumah sebelum keluarga menghubungi ambulans.

“Abah pengsan sebab kekurangan darah. Keluarga buat keputusan bawa Allahyarham ke hospital. Semasa dirawat di hospital, keadaan abah stabil dan kami sempat juga membuat panggilan video.

“Bagaimanapun, dalam pukul 1.30 pagi tadi, doktor menghubungi kami memaklumkan abah kritikal sebelum abah menghembuskan nafas terakhir,” ujar Siti Hadirah dalam kiriman mesej menerusi Instagram kepada Astro AWANI.

Klik untuk gambar besar



Untuk info, Allahyarham Gmie atau nama sebenarnya, Hajmi Ibrahim meninggal dunia pada usia 50 tahun.

Penyakit buah pinggang berlubang yang dihidapinya boleh dikatakan satu daripada 200,000 individu. Sangat jarang berlaku, tapi ia sudah takdir.

"Saya tiada kencing manis dan darah tinggi pun. Boleh dikatakan, sakit ini datang tiba-tiba. Kaki saya berat dan doktor kesan saya kurang garam dan kurang albumin.

"Albumin ialah satu selaput yang menjaga cecair buah pinggang. Namun, selaput itu yang bocor dan doktor beritahu saya kekurangan albumin," ujar Allahyarham dipetik sebagai berkata pada April lalu.

Gmie yang menempa nama sebagai antara penyanyi terbaik negara menerusi kumpulan Screen pernah masyhur dengan lagu Bila Cinta Didusta.

Allahyarham pernah menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim ketiga terbitan Astro pada 2016.

Takziah diucapkan..!

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: