23 December 2021

ISTERI BUNTING PELAMIN - AYIE FLOOR 88 TAK SANGKA, TERUJA BAKAL JADI BAPA



Bunting pelamin... demikian halnya dengan vokalis kumpulan Floor 88, Ayie yang tidak menjangka bakal bergelar bapa tidak lama lagi apabila isterinya, Tasha Awie kini sudah berbadan dua.

Berkongsi berita kehamilan menerusi laman Instagram selepas genap dua bulan mendirikan rumah tangga, Ayie atau nama sebenar Nik Fadlee Elhamshah, 24, berkata dia menerima kurniaan rezeki zuriat itu dengan penuh kesyukuran.

"Alhamdulillah! Doktor maklumkan usia kandungan memasuki sembilan minggu, sebenarnya kami dah tahu sejak bulan lalu tapi tak berani nak kongsi dengan orang ramai lagi kerana kandungan masih belum kuat.

"Saya sendiri tak menjangka secepat ini isteri mengandung tapi dalam masa sama bersyukur sebab soal zuriat ni kita tak boleh nak rancang, kalau ada memang kami terima sahaja. Perasaan memang happy sangat, lagi pula anak pertama... tadi isteri buat pemeriksaan pertama dah nampak degupan jantung baby, memang rasa seronok sangat.

Klik untuk gambar besar



Sewaktu isteri saya memaklumkan mengenai kehamilannya, kami berada di Melaka kerana ada urusan kerja. Pada awalnya, dia beritahu saya ada rasa mual-mual. Saya bergurau dengan dia, entah-entah ada bayi. Tapi, dia beritahu saya dia dah buat ujian dan belum ada rezeki.

"Bila saya sedang menjalani penggambaran di Melaka, dia sembunyi-sembunyi membuat ujian kehamilan sekali lagi. Alhamdulillah, keputusannya positif," katanya.

Dalam pada itu, Ayie yang mendirikan rumah tangga dengan Tasha atau nama sebenar Nur Natasyah Ahmad Nawani, 22, pada 21 Oktober lalu di Masjid Ukay Perdana Ampang, Selangor itu berkata isterinya tidak mengalami sebarang alahan di awal kehamilan ini.



"Isteri saya sihat sahaja, tiada sebarang alahan yang melampau. Cuma awal-awal kandungan dulu dia ada loya dan mual-mual. Sekarang ni dia suka makan benda-benda masam. Alahan lain tiada! Semoga proses kehamilan ini dipermudahkan sampai hari kelahiran nanti," ujarnya.

Ditanya mengenai persediaannya, Ayie berkata, dia dan isteri tidak terlalu janggal untuk menguruskan bayi memandangkan dia adalah anak sulung dalam keluarga.

"Saya anak sulung dalam keluarga dan isteri saya anak kedua. Jadi, kami masing-masing sudah biasa menguruskan adik-adik kami. Insya-Allah, tidaklah terlalu janggal. Bezanya, sekarang kami akan menjadi ibu bapa dalam usia yang masih muda. Jadi, tanggungjawabnya lebih berbeza," jelasnya.







         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: