23 December 2021

KAK KM SELAMAT BERSALIN 'BABY GIRL': "BAYI 3.8 KG, SAYA MINTA SUPAYA TAK POTONG & JAHIT..."



"Alhamdulillah saya menahan sakit satu jam sahaja di dalam bilik bersalin. Pukul 12.30 tengahari masuk, pukul 1.30 terus bersalin. Cuma kali ini berbeza sedikit kerana bayi besar dan berat 3.8 kilogram.

"Saya minta supaya tak potong dan jahit, jadi sakitnya lebih sedikit tetapi berbaloi," demikian tutur usahawan kosmetik, Kak KM apabila dia kini telah pun selamat melahirkan anak keempatnya secara normal di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, kira-kira pukul 1.30 tengah hari, Rabu.

Kak KM atau nama sebenar Liana Rosli tidak menyangka kelahiran cahaya mata perempuan itu jatuh pada ulang tahun perkahwinannya yang ke-19. Dalam pada itu, Kak KM memilih nama 'Cinta Carissa' untuk bayi tersebut yang dianggap bersesuaian dengan karakternya yang suka sesuatu berbeza. Dia juga sudah mewujudkan akaun Instagram untuk bayinya itu sejak kandungan berusia tujuh bulan.

Klik untuk gambar besar



"Ingatkan nak celebrate macam tahun-tahun yang lalu, rupanya tahun ini lagi besar hadiahnya. Memang tak sangka sungguh, suami pun menangis tak cakap apa dah.

"Cinta wujud sejak adanya Kak KM, kalau anak-anak yang sebelum ini saya dikenali dengan nama Liana Rosli. Akaun Instagram itu saya buka waktu buat majlis baby shower. Ketika itu kandungan berusia tujuh bulan dan kita dah tahu jantinanya," ujarnya.

Sementara itu, anak kepada dramatis terkenal Normah Damanhuri ini menghargai segala doa dan sokongan yang diterima biarpun sering dikecam netizen.



"Kali ni punya anak memang lain daripada lain, dengan rezekinya yang betul-betul melimpah ruah. Setiap hari saya dikecam sejak mengandungkan dia sampai akaun kena hack. Tapi yang menyokong saya lebih ramai daripada yang mengkritik.

"Alhamdulillah sangat, saya ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan saya terutama sekali mereka yang bersedekah atas nama Cinta Carissa. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa anda semua," ujarnya.

Untuk makluman, Liana dan suaminya, Razman Ramli berkahwin pada 22 Disember dan pasangan itu sebelum ini telah dikurniakan dua anak perempuan serta seorang lelaki iaitu Nabila Razman, 18, Fariz Razman, 14 dan Rania Razman yang berusia 11 tahun.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: