04 December 2021

KONTROVERSI YANG DILALUI JENTIK DIRI YASSIN BERUBAH JADI LEBIH BAIK



"Kontroversi ini perlu dirasa dan diterima. Apabila berbuat salah, kita perlu ditegur dan anggap kritikan membina. Ia sekali gus membuatkan kita bangkit dan tidak larut dengan apa yang tidak patut dilakukan lagi.

"Saya sendiri pernah jatuh terduduk saat dihambat kontroversi. Saya juga pernah rasa putus asa sebab merosakkan nama orang lain. Namun, kekuatan daripada ibu dan arwah bapa yang selalu berpesan dan memberi suntikan semangat.

"Kontroversi dahulu dan sekarang sudah jauh berbeza. Hari ini, kontroversi tidak boleh dikawal apabila ada 'campur tangan' golongan netizen. Dahulu, kita masih boleh kawal dan tidak kurang juga ada yang dicipta sendiri. Ia pilihan, tetapi boleh jadi menaikkan populariti dan sebaliknya.

"Saya akui, ada selebriti yang tiada kontroversi, tetapi cuma mereka-reka cerita panas untuk lebih dikenali. Cuma, jangan anggap kontroversi membebankan atau menjatuhkan sahaja. Pandai buat, pandailah tanggung. Sendiri reka, maka sendirilah ada kunci meleraikannya," demikian kata pelawak Yassin Yahya, 43.

Klik untuk gambar besar



Akuinya, apa yang dilalui dahulu adalah satu pengalaman yang tidak boleh dijual beli. Seiring peredaran masa dan peningkatan usia, Yassin akui, bangkit dengan semangat tersendiri. Yassin berkata, kontroversi yang dilalui menjentik dirinya untuk berubah menjadi lebih baik.

Yassin yang merupakan peserta Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) menerusi kumpulan Sa.Ya bergandingan dengan Saiful Apek itu sebelum ini pernah terpalit dengan deretan kontroversi pada zaman kegemilangan pada era 1990-an, ketika bersama kumpulan lawak nombor satu Malaysia, Senario. Malah pernah dihina 'lumpur' yang merosakkan imej kumpulan itu.

Bukan itu sahaja, Yassin juga digugurkan daripada Senario selepas mencipta memori indah bersama selama empat tahun, berikutan kontroversi dadah sekitar 2002, diikuti beberapa kes lain yang pernah menghambat dirinya.



Ditahan polis, positif dadah dan bergaduh bukan baharu dalam hidup Yassin, namun, pengalaman itu juga membuatnya menjadi insan lebih matang dalam mengharungi ranjau dan kehidupan.

Yassin berkata, pengalaman dan pembabitan bersama Senario dulu tidak pernah dikesali: "Dahulu masih muda, jadi tiada istilah rugi mencipta nama dan menambah pengalaman bersama Senario. Bukan senang mahu menjadi salah seorang anggota kumpulan yang pernah diberi jolokan kumpulan lawak nombor satu Malaysia.

"Pernah juga terlintas kenapa saya dipilih menganggotai kumpulan Senario. Sedangkan, ramai pelawak lain yang tidak kurang hebat. Mungkin saya ada tarikan dan formula yang boleh melengkapi kumpulan ini. Ada masanya saya sampai tahap tidak fikir soal gaji. Namun, masa bekerja saya anggap serius walaupun perlu berlawak," jelasnya lagi.





Sumber: Berita Harian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: