26 December 2021

NAIK PELAMIN KALI KEDUA JANUARI DEPAN - MAK WAN LATAH SEMPAT TUNAI UMRAH



Pelakon veteran, Mak Wan Latah meluahkan rasa syukur apabila diberi kesihatan yang baik untuk terlebih dahulu menunaikan umrah, sebelum menamatkan zaman janda kurang sebulan iaitu pada Januari depan.

Walaupun sedang dalam persiapan menanti hari bahagia pada 15 Januari depan, Mak Wan atau nama sebenarnya Halimaton Saadiah Mohd Daud, 60, mahu fokus dalam melakukan ibadah.

"Alhamdulillah, akhirnya saya dan adik dapat tunaikan ibadah umrah. Ini merupakan kali kedua saya menunaikan umrah, jadi dah tahu apa yang sepatutnya dibawa. Memang tak dapat nak gambarkan bagaimana perasaan saya apabila diberi peluang sekali lagi untuk ke sana. Saya ni pendosa... seorang yang tak sempurna, tetapi mungkin Allah mendengar doa saya.

"Jadi bila Didie Alias beritahu saya ditaja untuk menunaikan umrah, terus tak dapat jalan dan pengsan. Begitulah perasaan seorang ibu tua apabila diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke bumi Allah," katanya kepada mStar sebelum berangkat ke Tanah Suci Makkah pada kira-kira pukul 11 malam, Sabtu.

Klik untuk gambar besar



Pelakon drama 'Kekasih Paksa Rela' itu sebelum ini pernah jatuh pengsan selama lima minit setelah dimaklumkan menjadi penerima sumbangan tajaan pakej menunaikan ibadah umrah. Detik cemas itu dikongsi oleh pelakon Didie Alias yang menyaksikan insiden itu semasa siaran langsung dalam sebuah program di laman Facebook, pada Julai lalu.

Dalam pada itu, bercerita tentang persiapannya menjelang hari bahagia, pelakon filem 'Tuan Besar' dan 'Serampang Tiga' itu berkata, dia dan bakal suami merancang untuk melakukan majlis pernikahan secara sederhana. Mak Wan yang dirisik pada 14 November lalu berkata majlis pernikahannya nanti akan diadakan secara sederhana di kampung halamannya di Ipoh, Perak.


"Saya buat ala kadar sahaja, lagipun sudah berumur... takut apa pula orang kata nanti. Tak boleh buat apa-apa sangat kerana masih terikat dengan beberapa penggambaran selepas itu. Majlis belah lelaki pula akan diuruskan oleh anak-anaknya di Kuala Pilah pada 29 Januari nanti," jelasnya.

Apabila ditanya tentang penerimaan keluarganya tentang jodoh keduanya ini, Mak Wan berkata dia meminta pendapat keluarga serta anak-anaknya terlebih dahulu sebelum menerima pinangan tersebut.

Jelas Mak Wan, anak-anaknya tumpang gembira kerana kini ibu mereka tidak keseorangan: "Sebelum menerima pinangan itu, saya bertanya kepada adik beradik dan juga anak-anak sama ada mereka okay atau tidak. Mereka sukalah maknya ada kawan, kalau tak saya tinggal seorang diri je kan," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: