"Keadaan sekarang okey. Doktor cuma cakap paru-paru saya ada air dan setakat ini, saya perlu ditahan di hospital untuk rawatan lanjut. Harap-harap keputusan imbasan nanti 'bersih'.
"Kalau tidak, besar kemungkinan, paru-paru kena cucuk atau tebuk untuk keluarkan air bagi mengelakkan apa-apa jangkitan yang lebih teruk. Saya harapkan orang ramai mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan saya.
"Saya tak naklah orang cakap saya cerita ini sebab nak raih simpati tapi saya percaya dengan kuasa doa, insya-Allah semuanya akan baik-baik sahaja," demikian jelas pelakon dan pelawak Ebby Yus mengenai keadaannya yang terkini selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak empat hari lalu disebabkan masalah paru-paru berair.
Bukan mahu simpati, Ebby yang berdepan satu demi satu dugaan itu berkata dia mengharapkan doa yang baik-baik daripada orang ramai. Ujarnya, ada kemungkinan paru-paru perlu ditebuk untuk keluarkan air.
Reda dengan setiap dugaan menimpa dirinya, Ebby berkata dia percaya apa yang berlaku ada hikmah dan Allah yang menentukan segalanya.
"Saya reda dengan takdir Allah. Tapi, saya reda bukan bermakna saya berpeluk tubuh. Saya percaya apa yang berlaku, ada hikmahnya. Kita merancang tetapi yang tentukan segala-galanya Allah SWT.
"Kalau Dia izinkan rasa sakit itu sembuh atau kepayahan hidup itu diangkat, dengan izin-Nya pasti ia akan berlaku," katanya yang sebelum ini diduga dengan rumahnya yang masih dalam proses pembinaan, lenyap dibawa arus banjir di Hulu Langat, Selangor.
________________________
No comments:
Post a Comment