24 December 2021

PENGGAMBARAN DIHENTIKAN - YOE PAREY ALAMI ANGIN PASANG, JALANI PEMBEDAHAN



"Yoe sudah lama menghidap angin pasang iaitu sebelum saya mengenalinya lagi. Ketika kami sedang sibuk 'shooting' (penggambaran), Ahad lalu, Yoe tiba-tiba mengadu sakit dan meminta kebenaran berehat. Jarang Yoe mengadu sakit hingga terpaksa berehat. Apabila melihat keadaan Yoe yang tidak mampu menanggung sakit, saya membawanya ke hospital.

"Dia kemudian perlu segera menjalani pembedahan. Keadaannya semakin baik. Sebaik Yoe keluar hospital, saya membawanya pulang ke Kelantan. Lagipun semua kru belakang tabir sudah diarah pulang," kata pengarah filem, pelakon dan YouTuber terkenal Syahmi Sazli yang berkongsi keadaan pelakon Yoe Parey.

Syahmi berkata kerja penggambaran filem '35mm' arahannya yang berbaki seminggu terpaksa dihentikan serta-merta disebabkan masalah kesihatan dihadapi pelakon utamanya itu.

Syahmi berkata, Yoe mengalami masalah angin pasang dan perlu menjalani pembedahan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, Ahad lalu. Bagi memastikan Yoe benar-benar pulih, Syahmi membuat keputusan menghentikan kerja penggambaran dan disambung awal Februari depan.

Klik untuk gambar besar



Tambah Syahmi, penggambaran filem kedua arahannya itu dilakukan di Pulau Pinang sejak 10 hari yang lalu. Semua kerja di lokasi sepatutnya berakhir dalam tempoh seminggu lagi.

Disebabkan hampir 95 peratus jalan cerita membabitkan Syahmi, Yoe dan seorang lagi pelakon, Asif Suhaimi, pengarah dan penerbit itu terpaksa keputusan menghentikan sementara penggambaran.

"Alhamdulillah, semua faham keadaan yang berlaku. Saya sudah berbincang dengan semua tenaga belakang tabir. Kami bersetuju untuk menyambung semula penggambaran, Februari depan. Lagipun filem '35mm' dijangka menemui penonton melalui saluran Astro First seminggu selepas Aidilfitri," ujarnya.



Filem '35mm' mengisahkan mengenai tiga saudara yang sesat di dalam lima zaman iaitu Dinasti Cina, zaman pemerintahan Jepun, British serta era moden pada 1992 dan 1997.

Filem itu berdasarkan idea asal Syahmi manakala skrip dihasilkan Senibayan. Syahmi dan Senibayan sama-sama memikul tugas pengarahan. Selain Yoe, Asif dan Syahmi, filem itu menyaksikan penampilan khas beberapa pelakon seperti Hushairi Hussain dan Kenji Sawahi. Tidak ketinggalan beberapa YouTuber antaranya Poktar, Sai Kamal dan Wanie Rohaimi.

Syahmi pernah memecahkan dominasi filem terlaris di platform Astro First apabila karya pertama terbitan dan arahannya, 'Mael Totey The Movie' meraih RM6.4 juta dalam tempoh 24 hari tayangan menewaskan filem 'Polis Evo' dan 'Hantu Kak Limah'. Pembikinan filem itu menarik perhatian kerana kos menghasilkannya kira-kira RM400,000 yang dibiayai Syahmi.







         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: