15 December 2021

SIHAT, TENANG DI PENJARA - ISMAIL HALIL LUAH RASA RINDU, MAHU PELUK CIUM MAK



Pada 1 Disember lalu, peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain telah memuat naik nota ringkas milik penyampai radio dan pengasas Bapakku FM, Isma Halil Hamzah, 48, dari sebalik tirai besi di Facebook. Kisah itu menjadi tular pada kalangan warganet sekali gus menjawab persoalan kehilangan Isma Halil yang sudah empat bulan tidak ke udara di siaran radio internetnya.

"Kenyataan itu dikeluarkan untuk beritahu peminat yang tertanya-tanya ke mana saya menghilang. Saya jelaskan yang saya sebenarnya berada di Penjara Sungai Buloh dan dalam keadaan sihat," jelas Isma.

Paling mengharukan apabila Isma menerusi surat telah meminta maaf kepada ibunya kerana tidak dapat menemani ketika waktu tua. Isma Halil turut sedih kerana tidak dapat lagi menziarah kubur bapanya setiap minggu seperti sebelum ini.

"Maafkan saya mak, walaupun terlalu mahu tapi saya tidak mampu menemani waktu-waktu tua mak. Harap dan harapan semoga mak terus sihat. Mak tunggulah saya. Saya rindu peluk cium mak. Adik-beradik yang sentiasa saya sayang, terima kasih kerana terus menjaga mak. Maafkan saya abah, tak dapar ziarah kubur abah setiap minggu cuma doa yang tak pernah putus, walau saya pernah berjanji untuk jaga mak setelah abah pergi. Demi Allah saya akan terus berusaha untuk jaga mak," tulisnya.

Klik untuk gambar besar



Tambah Isma yang kini berada dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh, Selangor, dia turut menulis sepucuk lagi surat untuk peminat yang diberikan kepada peguam bagi dimuatnaik di Facebook. Menerusi suratnya, Isma Halil turut meminta maaf kepada semua peminat sekiranya pernah tidak memuaskan hati mereka.

"Syukur, saya berada di dalam keadaan sihat. Terima kasih kepada pihak penjara atas layanan baik yang diberikan kepada saya. Saya jalani kehidupan seperti biasa termasuk bekerja di sana," ujarnya.

Sementara itu, Isma yang mempunyai isteri, Nor Haslinda Abdul Manaf, 48, dan anak yang berusia 13 tahun itu turut memberitahu kehidupan yang dijalani di penjara banyak memberi pengajaran kepadanya dan berharap akan dapat dikongsikan kepada umum suatu hari nanti.



"Kehidupan di sini (penjara) membuatkan saya banyak belajar. Beribu kisah, kes-kes dan kehidupan penjara saya ambil daripada sudut yang positif. Semuanya saya himpunkan dan suatu hari nanti, dengan izin Allah akan saya ceritakan dan keudarakan. Banyak nak saya ceritakan sebagai 'orang ketiga' di blok Ehsan. Tak cukup dakwat pen ini untuk saya tuliskan. Semoga satu hati nanti akan dapat saya ceritakan seperti waktu-waktu dahulu," tuturnya.

Untuk makluman, Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 27 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes Isma Halil yang berdepan dengan pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 409 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, di sini pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.

Majistret Wong Chai Sia menetapkan tarikh itu selepas mendapati laporan kimia masih belum dapat disediakan oleh Jabatan Kimia Malaysia. Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B (2) Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: