19 December 2021

TERPERANGKAP DALAM BANJIR - FAZLEY BERSYUKUR KELUARGA ADIK DISELAMATKAN BOMBA NAIK BOT



"Setakat ini Alhamdulilah... keadaan air dalam rumah masih ada tapi sedikit demi sedikit sudah surut walaupun mengambil masa lama. Alhamdulillah, belah adik ipar dan keluarga dapat hubungi pihak berkuasa untuk bantuan. Adik saya, suami dia dan empat orang anak mereka sudah diselamatkan.

"Mereka menaiki bot untuk dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat. Mereka sekeluarga kini berada di rumah mentua adik saya di Bangsar," demikian kata cef selebriti Datuk Fazley Yaakob yang berkongsi keadaan terkini adiknya, Farah Dilla Yaakob bersama suami dan empat orang anak yang terkandas di rumah akibat banjir di Hulu Langat, Selangor sekitar 4 pagi, Ahad.

Fazley atau nama sebenarnya Ahmad Fadzli Yaakob meluahkan rasa syukur apabila kesemua mereka sudah diselamatkan pihak bomba Kajang yang memberi bantuan pada petang Ahad. Fazley turut bersyukur orang ramai turut menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Klik untuk gambar besar



"Bantuan yang datang tu amat dihargai. Saya ada hubungi bomba di Kajang dan mereka bertanya di mana kawasan adik saya. Perkongsian saya di IG itu juga membuatkan ramai yang turut membantu mereka yang terperangkap di sekitar kawasan itu juga.

"Ikutkan saya nak bergerak ke sana tapi dapat maklumat jalan tak boleh masuk. Saya dapat berkomunikasi dengan pihak berwajib dan rakan berada di sekitar sana," ujarnya.

Sebelum ini, peserta Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) itu memuat naik keadaan rumah adik perempuannya yang dinaiki air. Penyanyi lagu 'Asmara Ini' memohon agar pihak berkuasa segera menghantar bantuan kepada adiknya sekeluarga yang terperangkap di dalam rumah.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: