28 January 2022

ARWAH PIAN HABISKAN KEHIDUPANNYA DENGAN BERBAKTI KEPADA IBU



"Dia (arwah Pian Cecupak) dapat jaga emak dari pagi sehingga malam dan kelebihan itu tiada pada saya. Dia sediakan makanan untuk emak walaupun kadang-kadang dia tiada wang.

"Amalan ini buat dia disayangi Allah sekali gus memudahkan perjalanannya ke sana," ujar abang sulung kepada Allahyarham pelawak dan pengacara Pian Cecupak iaitu Mohd Daud Abdul Rahman ketika ditemui selepas pengebumian adiknya di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, semalam.

Daud berkata hidup Allahyarham Pian atau nama sebenarnya Mohd Rafik, 51, yang meninggal dunia malam kelmarin banyak dihabiskan dengan berbakti kepada ibunya, Zainon Saidin, 72.

Sementara itu, adik arwah Pian, Hassenah Abdul Rahman, 47, memberitahu, ketika sambutan ulang tahun kelahiran ibu mereka pada 18 Januari lalu, Pian memeluk adik bongsunya sambil meminta dia mengambil alih tugas menjaga ibu mereka sekiranya dia tiada nanti.

Tambah Hassenah, abangnya itu teruja dengan sambutan ulang tahun kelahiran ibu mereka yang pertama kali dilakukan itu, tetapi tidak sangka itu yang terakhir. Katanya, Pian memang beriya-iya mahu mengumpulkan semua adik-beradiknya seramai enam orang termasuk anak saudara dan cucu cicit pada majlis itu.

"Bagaimanapun, ketika itu pun saya nampak keriangan arwah sudah tiada. Dia banyak diam dan bila diajak bergambar pun dia lain sikit berbanding sebelumnya agak ceria.

"Sebelum ini pun dia suka berbahas sesuatu isu dan kuat melenting dalam kumpulan WhatsApp keluarga, tapi kebelakangan ini dia banyak diam. Selepas majlis itu selesai dia tulis dalam kumpulan WhatApp ucapan terima kasih kepada semua adik beradik dan anak saudara kerana buat emak gembira," tuturnya.

Hassenah berkata, Pian mengalami masalah jantung kritikal, tetapi keadaannya lebih baik apabila dia minum susu: "Dia juga ambil ubat dari hospital. Namun, disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu, banyak temujanji ditunda. Doktor hubungi saya suruh dia datang ambil resit kemudian ambil ubat," katanya.

Menurut Hassenah, sumber pendapatan abangnya hanyalah menerusi wang yang dikongsi mereka adik-beradik kerana dia menjaga ibu. Selain itu, Allahyarham juga baru menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat beberapa bulan lalu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: