26 January 2022

ASHEED BERSYUKUR 'DEF GAB C' TAK PERNAH GADUH REBUT NAMA, WALAUPUN BERPISAH



"Hubungan saya dengan anggota lain sangat bagus. Kami tiada Real Def Gab C atau Def Gab C ketiga. Kami hanya ada satu Def Gab C. Rahsianya, kami kena faham satu sama lain dan ikut peredaran zaman.

"Masa muda kita perangai begini, semasa berkahwin perangai sebegini dan sekarang lain pula," ujar penyanyi kumpulan Def Gab C, Asheed, 49, yang mengakui bersyukur apabila kumpulannya tidak pernah berdepan krisis yang teruk.

Asheed atau nama sebenarnya, Mohd Ashid Ahmad berkata, walaupun berdepan perpecahan, mereka tidak pernah berebutkan nama kumpulan terbabit. Asheed dan Def Gab C yang popular menerusi lagu 'Ibukota Cinta' itu bagaimanapun, tidak menafikan isu terasa hati tetap ada dan ia lumrah dalam kumpulan.

"Ia ada (terasa hati) tapi tak bolehlah pendam lama-lama. Dalam masa tiga hari dah kena selesaikan. Jangan sampai berlarutan. Perasaan cemburu berkenaan siapa lebih banyak tawaran memang tiada, dan ia sepatutnya tidak ada dalam sesebuah kumpulan. Kita kena anggap anggota lain seperti adik-beradik," katanya.

Asheed yang kini tampil dengan single solo terbaharu berjudul 'Baling' terbitan Rockstage Entertainment berkata, dia akan kembali bergabung dengan rakan-rakannya menjayakan konsert Def Gab C pada Mac nanti.

"Ia adalah konsert istimewa, 25 tahun Def Gab C yang menampilkan anggota asal iaitu saya, Eddie (bass), Jemboo (gitar) dan Atong (drum). Lokasi konsert sedang dikenal pasti dan akan diberitahu kepada peminat nanti. Peminat hargai kami apabila sering minta saya bergabung semula bersama anggota lain. Kami pun berhasrat nak kembalikan zaman kegemilangan Def Gab C," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: