23 January 2022

BIL HOSPITAL ARWAH IBU RM18,000 - RADHI OAG BERHASRAT ADAKAN 'SHOWCASE' KHAS UNTUK LANGSAIKAN



Sebagai usaha mencari wang untuk pembayaran bil hospital Allahyarham ibu, Fatimah Wee Abdullah @ Georgina Wee, 66, yang meninggal dunia pada 14 Januari lalu akibat kanser usus, penyanyi Radhi OAG berhasrat mengadakan satu 'showcase' khas.

Radhi berkata, sebagai anak yang rapat dengan ibunya, dia berasa bertanggungjawab untuk menyelesaikan segala hutang piutang berkaitan Allahyarham.

"Arwah emak saya meninggal dunia di rumah saudara di Kampung Tunku, SS1. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 10, Kota Damansara. Pemergian arwah adalah 40 hari selepas kematian abang sulung saya, Termidzi Razali akibat kanser darah dan kulit.

"Bil hospital arwah emak dianggarkan kira-kira RM18,000 dan saya akan berusaha sehabis baik untuk membayarnya dengan cara mengadakan 'showcase'. Ia akan berlangsung di Bayang Coffee Kafe, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada Mac sebelum Ramadan nanti," ujarnya dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro

Radhi bagaimanapun memberitahu, harga tiket dan lain-lain perkara belum ditentukan dan akan diberitahu kepada peminat-peminat selepas ini. Radhi mengakui amat rapat dengan ibunya, namun reda dengan pemergian Allahyarham.

Klik untuk gambar besar



"Hari ini pun saya pakai baju emak. Masa tahu dia dapat sakit beberapa bulan lalu pun, saya dah reda dan tahu Allah akan jemput dia. Alhamdulillah emak pergi dalam keadaan yang tenang. Sayalah orang terakhir yang ajar dia ucap kalimah syahadah masa arwah menutup mata.

"Saya ajar perlahan-lahan dan ketika itu air matanya meleleh. Ia babak yang tak boleh dilupakan sampai bila-bila. Semasa hayatnya, saya selalu urut emak dan masak untuk dia," katanya.

Radhi mengakui, ketentuan Allah ini mempunyai hikmah terutama mengubah dirinya ke arah yang lebih baik: "Emak banyak menasihatkan saya dan saya berjanji nak jadi anak yang soleh. Saya jadi kurang aktif dalam muzik sebelum ini kerana tiada 'mood' nak rakam lagu.

"Kalau tinggalkan dia sekejap, saya terbayang dia tergelincir atau berlaku perkara buruk. Ada juga adik yang jaga emak, tapi saya paling pantas sekiranya berlaku apa-apa. Keluarga kami semuanya lelaki dan kini hanya tinggal berempat sahaja," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: