25 January 2022

ERRA FAZIRA: "SAYA TAK ADA MASALAH BERKAWAN ATAU BERKAHWIN DENGAN BANGSA LAIN"



Pelakon dan penyanyi Erra Fazira memberitahu yang dia sejak dulu hingga sekarang, tidak pernah menyekat sekiranya jodoh yang hadir bukan dalam kalangan orang Melayu.

"Saya tak ada masalah untuk berkawan atau berkahwin dengan bangsa lain. Perhubungan yang terjalin dengan seseorang bukan Muslim boleh membuka ruang untuk mereka mendalami agama Islam dengan lebih dekat.

"Saya sentiasa alu-alukan walaupun jika jodoh yang datang bukan dalam kalangan orang Melayu. Saya anggap sesiapa pun bukan Muslim yang mahu mendekati saya adalah kerana mereka mahu mendalami agama Islam," katanya.

Klik untuk gambar besar



Tambah Erra, mungkin juga seseorang berlainan bangsa mendekati dirinya kerana mereka berminat untuk mendalami budaya berbeza. Erra berkata, dia pernah berpasangan dengan seseorang bukan Melayu.

"Berkenalan itu ada tapi tidak sampai ke fasa berkahwin," jelas Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 48, yang kini muncul dengan filem terbaru 'Kongsi Raya' arahan Teddy Chin dimana ia mengisahkan percintaan berlainan bangsa iaitu Melayu dan Cina yang mendapat tentangan ibu bapa masing-masing.

Erra buat pertama kali melakonkan watak sebagai ibu dalam filem ini yang menggandingkannya dengan Harith Iskandar sebagai suami serta pelakon baharu, Qasrina Karim sebagai anak mereka. Bercerita kesudiannya membawa watak itu, yang jarang dilakukannya, Erra berkata, dia ingin mencuba sesuatu yang baru.



"Saya pernah bawa watak ibu sebelum ini menerusi drama, manakala ia kali pertama untuk filem. Dan apa-apa watak pun akan ada banyak cabang. Kali ni saya bawa watak ibu yang moden selain pengarah cuba sampaikan mesej tersendiri secara berhibur, berlawak dan bersahaja. Saya menafikan dapat tawaran lumayan, namun harga yang diberikan mereka boleh dikatakan berpatutan dan sesuai dengan nilai saya," tuturnya.

Sementara itu, bercakap soal bayaran punca dia menerima watak tersebut, Erra berkata, dia tidak pernah meletakkan harga yang tidak masuk akal. Katanya, setiap naskhah yang diterima sudah dipertimbangkan dan berbaloi dengan kerja yang dilakukan.

"Saya bukan seorang yang demanding. Apa yang penting adalah bayaran diterima berbaloi. Kita harus berpijak di bumi nyata. Kalau watak kecil dan minta bayaran tinggi memang tidak masuk akal. Dalam hal begini saya seorang yang praktikal. Jika tawaran watak yang sangat menarik tetapi harga rendah, rasa rugi juga untuk tolak," jelasnya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: