05 January 2022

FARID KAMIL GAGAL DAPAT KEBENARAN MERAYU MENGETEPIKAN SABITAN & HUKUMAN



Permohonan pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari, 40, mendapatkan kebenaran merayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman denda RM5,500 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Ogos 2021, gagal apabila panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara menolak.

Sabitan dan hukuman denda adalah atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah serta mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap seorang anggota polis, dengan niat untuk menghalangnya melakukan tugas, empat tahun lalu.

"Mahkamah mendapati persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh pemohon adalah tidak relevan. Oleh itu, permohonan pemohon tidak mempunyai merit dan ditolak oleh mahkamah," kata Hakim Hanipah yang bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Pada 2 Jun 2020, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan ke atas Farid Kamil, yang didapati bersalah menggunakan kekerasan jenayah terhadap Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini pada 1.20 tengah hari, 11 Januari 2018, mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Suami kepada pelakon Diana Danielle itu juga dipenjara empat bulan kerana mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap mangsa yang sama pada masa dan tempat sama, mengikut Sesyen 90 Akta Polis 1967. Namun, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak, iaitu Farid Kamil hanya perlu menjalani hukuman penjara 13 bulan.

Bagaimanapun, berikutan rayuan pelakon itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menggantikan hukuman penjara 13 bulan bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah kepada denda RM5,000, manakala hukuman penjara empat bulan kerana mengeluarkan perkataan tidak sopan digantikan dengan denda RM500.

Pesuruhjaya Kehakiman Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor membuat keputusan itu, selepas mengambil kira bahawa Farid Kamil telah membayar kompaun kepada pihak-pihak yang terlibat dalam kejadian itu termasuk anggota polis berkenaan.

Sementara itu, panel tiga hakim berkenaan turut menolak permohonan pendakwa raya untuk mendapatkan lanjutan masa bagi memfailkan petisyen rayuan terhadap hukuman bagi pertuduhan di bawah Sesyen 90 Akta Polis 1967, selepas mendapati pihak pendakwa raya tidak menyatakan alasan mencukupi bagi menyokong permohonannya.

Ini bermakna, pihak pendakwaan hanya akan meneruskan rayuan silang terhadap denda RM5,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Farid Kamil, atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah.

Tarikh pendengaran rayuan masih belum ditetapkan oleh mahkamah. Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah dan Zaki Asyraf Zubir manakala peguam Kee Wei Lon dan Low Wei Loke bertindak bagi pihak Farid Kamil.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: