04 January 2022

JANTUNG BENGKAK & BACAAN KREATININ BUAH PINGGANG NAIK - EBBY YUS PERLU JALANI RAWATAN SUSULAN



"Alhamdulillah... tak ada apa pun yang perlu dibimbangkan. Masalah paru-paru saya dah okay, cuma perlu buat rawatan susulan untuk penyakit lain pula selepas ini.

"Saya kena buat scan sebab jantung saya mula membengkak dan bacaan kreatinin buah pinggang pun naik sedikit," jelas pelakon dan pelawak Ebby Yus yang memaklumkan dia keadaan kesihatan semakin baik, namun perlu menjalani rawatan susulan bagi penyakit buah pingang dan jantung.

Sebelum ini, Ebby menjadi antara artis yang terkesan teruk akibat banjir selepas rumahnya yang masih dalam proses pembinaan musnah dibawa arus banjir di Hulu Langat, Selangor pada 18 Disember lalu.

Akibat daripada kejadian tersebut, Ebby terpaksa menanggung kerugian mencecah hampir RM200,000. Dalam pada itu, ditanya tentang proses pembersihan tapak rumahnya itu, Ebby berkata ia tergendala kerana keadaan jalan yang tidak selamat untuk dilalui oleh mana-mana kenderaan.

Klik untuk gambar besar



Kata pelakon filem 'This Is Pilah' ini, tanah di kawasan rumahnya perlu periksa semula kerana banyak perubahan yang telah berlaku selepas dilanda banjir.

"Saya tak boleh nak buat apa sangat di atas tanah rumah kerana terhakis akibat daripada banjir. Nak kena ukur balik sebab strukturnya dah lari dan perlu tambak semula. Kalau ada rezeki selepas ini, memang saya nak bina semula rumah di atas tanah itu.

"Sekarang ini mereka kena betulkan keadaan sungai terlebih dahulu, kemudian baru la kenderaan boleh keluar dan masuk untuk proses pembersihan kawasan rumah saya," katanya.


Biarpun berkali-kali diuji, Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 56, tetap bersikap positif dan menghargai rakan artis serta peminat yang mendoakannya.

"Terima kasih banyak-banyak kerana mendoakan, itu pun sudah dikira sebagai satu bantuan juga... syukur Alhamdulillah. Apabila ada kawan-kawan dan peminat yang bertanya khabar, pada saya itu semua satu semangat untuk menjadi lebih kuat selain daripada kuasa Allah," ujarnya.

Ebby sebelum ini beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana penyakit lemah jantung dan buah pinggang yang dihidapinya. Pada Oktober lalu, dia mengalami serangan jantung di atas kapal terbang ketika dalam perjalanan mengerjakan umrah di Makkah.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: