04 January 2022

KEDAI MAKAN MUSNAH AKIBAT BANJIR - NICO REDA



Penyanyi rap terkenal 1990-an, Nico reda kerugian kira-kira RM8,000 berikutan lokasi kedai makan miliknya di Menara PJD, Jalan Tun Razak, di sini, ditenggelami air dalam kejadian banjir, baru-baru ini.

Nico atau nama sebenarnya Abdul Fashah Abdul Aziz, 50, berkata, peralatan di kedai makannya yang menyajikan makanan Cina Muslim dan roti bakar rosak teruk akibat ditenggelami air hingga paras kepala.

"Benda dah berlaku, nak tak nak saya kenalah terima dengan reda. Kami ambil masa tujuh hari untuk bersihkan tempat ini dan semalam adalah hari terakhir pembersihan. Semasa kejadian, barang-barang elektrik terapung.

"Setakat ini saya hanya cuci saja dan biarkan. "Peralatan pembakar roti yang saya ikat dalam plastik semuanya hilang dan mungkin hanyut. Rangka meja makan ada tapi papannya hilang.

"Sejak kecil saya yang tinggal di Kampung Baru dah kerap kena banjir. Jadi, untuk kali ini saya tabahkan hati," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Nico, dia sudah meminta bantuan daripada kerajaan. Dalam masa sama, dia juga sudah buat laporan polis dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta beberapa pihak lain.

Dalam perkembangan lain, Nico yang menyertai Gegar Vaganza 8 menerusi kumpulan Nico G bersama Affa dan Dino, bersyukur apabila pengarah, Opie Zami menawarkannya berlakon sitkom hujung bulan ini.

"Inilah yang dikatakan seorang sahabat yang baik. Tawaran Opie ibarat mengubati kesedihan saya. Program berjudul Sketsa Awesome ini akan disiarkan menerusi Awesome TV.

"Saya antara lima pelakon yang terpilih untuk sitkom 13 episod ini. Syukur Opie dah banyak kali bagi peluang saya terbabit dengan produksinya sejak 2018 lagi," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: