09 January 2022

PEMINAT MAHU MIN YASMIN BUAT PERSEMBAHAN DI FILIPINA, SANGGUP HANTAR JET PERIBADI



Penyanyi Min Yasmin yang mencipta nama di negara jiran, Filipina dan merakamkan album bahasa Tagalog berjudul 'Pangarap' di sana, memberitahu banyak undangan nyanyian di sana yang terpaksa ditolak berikutan faktor pandemik C0V1D.

Bagaimanapun, menurut Min atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz , 33, masih ada pihak di Filipina yang tetap mahukan dia membuat sehingga menawarkan untuk menghantar jet peribadi ke Sabah bagi menjemput penyanyi itu.

"Sudah ada beberapa tawaran yang saya terima di Manila, Filipina namun terpaksa tolak kerana negara itu belum menerima pelancong luar ketika ini.

"Sehingga ada yang sanggup hantar jet peribadi menjemput saya di sini. Kalau boleh saya tidak mahu langgar prosedur operasi standard (SOP). Tunggulah pandemik ini betul-betul reda nanti," katanya.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, Min memilih untuk menetap di Kota Kinabalu, Sabah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu dan mengakui semakin selesa menetap di negeri bawah bayu itu.

Apalagi sekarang ini dia dan suami, Julfekar yang juga merupakan seorang komposer terkenal, kini mengusahakan perniagaan menjual makanan di sana.

"Kami buat keputusan untuk tinggal di Kota Kinabalu sebab ia berada di tengah antara Filipina dan Kuala Lumpur. Lebih senang berulang-alik jika ada urusan.


"Kami memulakan perniagaan di sini dan rasa sayang untuk tinggalkan KK. Buat masa sekarang lebih selesa di sini dan meneruskan kerjaya seperti biasa," tuturnya yang dipetik sebagai berkata kepada mStar.

Dalam perkembangan lain, Min bakal melancarkan album baharu berjudul 'Min Yasmin: World On A String' yang mengandungi 18 buah lagu dan dicipta sepenuhnya oleh Julfekar.

"Sudah tiga tahun proses membuat album ini berjalan. Baru sekarang ia berjaya disiapkan. Meskipun sekarang ini zaman digital, bagi saya album ini adalah kenangan dan bukti saya sebagai seorang penyanyi," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: