21 January 2022

"SAYA BERTAHAN SELAGI MAMPU... SAYA BERSEDIA TERMASUK SOAL MATI" - BOB LOKMAN



Pelakon, pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman, 57, yang menghadapi masalah jantung, sejak beberapa tahun lalu itu memaklumkan dia belum pulih dan masih berjuang dengan penyakit tersebut, malah cepat letih. Bob atau nama sebenar, Mohd Hakim Lokman berkata, dia cuba bertahan dengan kudrat yang ada demi hidup.

Kini menetap di Kelantan bersama isteri dan anak, Bob yang menghasilkan lirik lagu 'berhantu' seperti 'Isabella' dendangan kumpulan Search dan 'Taman Rashidah Utama' dipopularkan Wings, mengakui dalam keadaan sekarang, dirinya reda berdepan segala kemungkinan.

"Selepas keluar hospital, saya cepat penat. Keadaan kesihatan saya turun dan naik. Saya ingat boleh 'terbang' macam Superman, tetapi tidak boleh juga. Saya bertahan selagi mampu... Memang tidak boleh rancak sangat pergerakan," katanya berkongsi perkembangan terbaru kesihatannya.

"Saya memang bersedia dengan segala kemungkinan termasuk yang buruk iaitu soal mati. Bukan hendak kata saya tak takut mati, semestinya saya takut. Jadi, saya cuba habiskan ruang hidup ini melakukan perkara bermanfaat. Saya tidak mahu menyesal pada kemudian hari," katanya sambil memberitahu tiga anaknya mendalami ilmu tahfiz.

Klik untuk gambar besar



Meneruskan kelangsungan hidup, Bob berkata, dia masih menawarkan perkhidmatan katering juadah Pantai Timur yang masih mendapat sambutan pelanggan dan rakan. Bob memiliki kepakaran memasak dan pernah membuka restoran di TTDI, Shah Alam. Bob meluahkan rasa syukur kerana isteri dan anak lelakinya mengambil alih tugas memasak. Selain itu, Bob banyak menurunkan ilmu memasak kepada isteri dan anaknya.

"Tetapi sekarang saya tidak memasak. Disebabkan keterbatasan diri, saya jadi 'tukang tengok' dan pantau sahaja. Antara tempahan diterima adalah nasi maqluba, bubur daging dan serunding daging. Kebanyakan juadah adalah hidangan eksotik Kelantan. Kadang-kadang ada kawan meminta masak sup gear box dan sup tulang.

"Saya lebih banyak mengarah itu dan ini... Hendak pegang senduk pun tak boleh lama. Sesekali, saya ambil tugas menghantar makanan di sekitar rumah dengan memandu kereta. Bosan juga duduk memerap dalam rumah. Jadi saya cuba cari alternatif ambil angin keluar rumah. Kalau saya tiada nanti, tak ralatlah. Masa pun banyak dihabiskan dengan keluarga sekarang. Hendak pergi beri ceramah agama pun tak larat, bukan seperti dahulu.

"DJ Dave selalu tolong saya. Begitu juga Pertubuhan Muslim Care. Sebelum ini, saya ada mesin Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) yang digunakan untuk membantu saya tidur dan pernafasan sumbangan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus. Selepas mesin itu rosak, Muslim Care beli yang baharu. Jika nafas saya terhenti, mesin itu secara automatik berfungsi dan memberi isyarat untuk pernafasan aktif semula," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: