30 January 2022

SELAMAT NIKAH LAGI 22 JANUARI LALU - MAK WAN LATAH PINDAH IKUT SUAMI KE KUALA PILAH



Pada 22 Januari lalu, pelakon Mak Wan Latah, 61, telah selamat mendirikan rumah tangga sekali lagi dengan pasangannya, Hussien Dollah, 71, di Pejabat Agama Ipoh, Perak. Mak Wan atau nama sebenarnya Halimaton Saadiah Mohd Daud, meluahkan rasa syukur apabila majlis pernikahannya dengan suami berjalan dengan lancar.

Menurut Mak Wan dia sepatutnya bernikah pada 15 Januari namun tarikh terpaksa ditunda disebabkan menjadi kontak rapat adik yang positif C0V1D selepas pulang dari tunai umrah. Kata Mak Wan, urusan pertukaran tarikh dilakukan anaknya ketika dia menjalani kuarantin di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi.

"Sepatutnya saya nikah pada 15 Januari tapi terpaksa tunda disebabkan saya menjadi kontak rapat adik yang positif C0V1D selepas balik dari umrah. Lebih kurang 20 jemaah termasuk adik saya disahkan positif ketika jalani ujian calitan di lapangan terbang. Alhamdulillah keputusan saya negatif.

"Bila dah jadi kontak rapat, saya terpaksa jalani kuarantin di Institut Latihan Islam Malaysia. Anak saya yang menguruskan pertukaran tarikh nikah. Alhamdulillah, pada 22 Januari lalu saya dan suami selamat bernikah di Pejabat Agama Ipoh, Perak," jelasnya yang dipetik sebagai kepada mStar.

Klik untuk gambar besar



Mak Wan dan Hussien turut diraikan dalam sebuah majlis resepsi di kampung suaminya yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Sebelum ini, Mak Wan memberitahu dia sudah dirisik pada 14 November dan akan berkahwin sebaik saja selesai menunaikan umrah pada Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, Mak Wan memberitahu dia kini menetap bersama suaminya di Kuala Pilah dan akan berulang alik ke Kuala Lumpur sekiranya ada kerja. Untuk makluman, hasil daripada perkahwinan sebelum ini, Mak Wan dikurniakan empat cahaya mata manakala suaminya pula mempunyai dua orang cahaya mata.

"Selepas berkahwin ini, saya ikut suami duduk di Kuala Pilah sebab dia ada kebun di sini. Kalau ada kerja di KL, barulah saya akan pergi ke sana. Saya pun dah berbincang dengan anak-anak dan suami. Alhamdulillah, mereka memahami," ujarnya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: