09 January 2022

"SETELAH 36 TAHUN, SAYA AKHIRNYA BERTEMU KEBAHAGIAAN & KEGEMBIRAAN" - NABILA HUDA



Pelakon Nabila Huda baru-baru ini menerusi laman Instagram miliknya telah berkongsi pengalaman hidup sepanjang 36 tahun yang pernah melalui pelbagai kisah duka, kecewa, penat, miskin dan banyak lagi.

Malah, Nabila juga mengakui pengalaman lalu itu yang banyak mengajar dirinya untuk menjadi tabah dan kuat seperti hari ini. Dia juga tidak menuding jari terhadap mana-mana pihak sebaliknya menerima segalanya dengan hati terbuka.

"Secara jujur, saya sepatutnya sudah lama mati jika diri tidak kuat untuk berdepan dengan dugaan dan cabaran yang ternyata bukan mudah untuk dilalui.

"Apa yang berlaku selama ini menjadikan saya seperti hari ini, yang mana tidak mudah untuk dilalui. Saya juga tidak pernah menyalahkan rumah tangga yang gagal, ibu bapa yang bercerai, mahupun sesiapa dalam hidup.

Klik untu gambar besar



"Sebaliknya pengalaman lalu menjadikan saya lebih kuat dan tabah. Hidup terlalu singkat untuk tidak menikmati kebahagiaan, jadi apa yang penting adalah jujur dengan diri sendiri, mengejar impian dan cita-cita serta memaafkan mereka yang menyakiti saya.

"Setelah 36 tahun, saya akhirnya bertemu dengan kebahagiaan dan kegembiraan. Selama ini saya sering berdoa untuk dikurniakan keluarga yang sempurna, Alhamdulillah, Allah SWT memakbulkan doa saya," katanya.

Menerusi paparan yang dimuat naik, Nabila berkongsi luahan rasanya sempena kehadiran tahun baharu 2022. Aktres itu turut bersyukur dengan kehadiran suami, anak, adik-beradik, keluarga dan rakan-rakan yang menyayangi dirinya tanpa had.



Tambah Nabila yang mempunyai seorang anak perempuan, hidup ini juga diberikan pilihan sama ada untuk mengecapi kebahagiaan atau memilih jalan duka.

"Saya lebih gembira dan mahu terus bahagia kerana saya memilihnya. Takkan ada hidup yang ingin terus bersedih. Biar berapa lama pun tempoh, masa itu pasti akan tiba juga.

"Luahan ini dibuat secara rawak kerana ingin memberi inspirasi kepada mereka di luar sana untuk menghargai kehidupan dan mereka yang berada di sekeliling. Jangan banyak mengeluh, banyakkan tersenyum dan sentiasa bersyukur," ujarnya.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: