10 January 2022

SHIDEE TIDAK TERASA HATI DIKRITIK 'PANCIT', TAK LAYAK: "HENTAMLAH... SAYA AKAN SENYUM SAHAJA"



"Itu pendapat dari hati dia. Saya tidak marah dan tidak ada sebarang masalah. Saya terima dengan hati terbuka kerana saya sendiri tidak tahu kedudukan saya selepas ini.

"Mungkin saya akan tersingkir pada peringkat separuh akhir," ujar penyanyi Shidee yang tidak terasa hati dengan komen negatif usahawan kosmetik Datuk Seri Vida yang mengkritik nyanyiannya 'pancit' dan tidak layak ke separuh akhir Gegar Vaganza musim kelapan (GV8).

Sebelum ini, Vida mempersoalkan kenapa kumpulan Sa. Ya disingkirkan sedangkan Shidee memberi persembahan yang lebih teruk pada malam Ahad. Untuk makluman, Sa.Ya yang dianggotai Saiful dan Yassin tersingkir pada peringkat suku akhir GV8, manakala Shidee pula di kedudukan kedua tercorot.

Sebagai penyanyi berpengalaman, Shidee atau nama sebenarnya Rashid Abdul Wahab, 63, menganggap komen berkenaan hanyalah pendapat peribadi seseorang. Sementara itu, Shidee juga memberitahu dia tidak pernah ambil pusing jika ada yang memberi kritikan dan komen negatif kepada dirinya melalui media sosial.

Klik untuk gambar besar



Bagi penyanyi lagu 'Semuanya Sudah Terlambat' ini, setiap orang mempunyai pendapat sendiri, namun hanya Tuhan yang menentukan jalan hidup seseorang.

"Saya tak bimbang sedikit pun dengan kritikan netizen. Hentamlah saya. Apa yang boleh saya buat hanyalah tersenyum sahaja. Allah lebih tahu apa yang terjadi kepada diri kita nanti. Itu adalah pegangan saya," ujarnya.

Dalam pada itu, Shidee memberitahu dia bukanlah seorang yang aktif di media sosial. Katanya, dia lebih senang untuk memberi fokus kepada kehidupan harian seperti bersama keluarga, memenuhi undangan nyanyian dan aktiviti surau.

"Sekarang ini apa yang saya tahu, saya hanya perlu menyanyi sahaja. Tak pernah fikir pun nak jadi popular kembali seperti dahulu. Saya lebih senang dengan apa yang telah saya buat selama ini. Membuat persembahan di sebuah restoran, bersama keluarga dan mengikuti aktiviti di surau," jelasnya.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: