21 January 2022

TAK ANGGAP SATU KESALAHAN KRITIK HETTY KOES ENDANG - HATTAN TAK KISAH DIKECAM



"Apa salahnya saya berikan fakta untuk perbaiki sesuatu demi kebaikan? Sahabat-sahabat saya itu bukan budak baru nak belajar. Mereka ada nama besar dalam industri. Kenapa diperlakukan begitu? Ramai yang menyuarakan pendapat yang sama kepada saya.

"Jangan nak jatuhkan maruah peserta hanya kerana content televisyen. Dia boleh tegur di belakang pentas. Saya tidak peduli jika ada yang kecam saya. Bukan semuanya tidak setuju," ujar penyanyi Datuk Hattan yang beranggapan ia bukan satu kesalahan dirinya terbuka dan lantang memberi komen tentang kandungan program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) baru-baru ini.

Hattan berkata juri tetap dari Indonesia, Hetty Koes Endang tidak sepatutnya menjatuhkan maruah peserta yang bertanding demi menaikkan rating televisyen.

Sebelum ini, Hattan meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan Hetty yang mengajar tentang teknik nyanyian ketika program sedang berlangsung. Bagi Hattan, tidak salah untuk berkongsi ilmu sebegitu, tetapi bukan di atas pentas ketika siaran sedang berlangsung.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu penyanyi lagu 'Rendang Tak Berbuah' ini tidak ambil peduli apabila ada sesetengah pihak kurang senang dengan pendapat yang disuarakannya.

Dalam perkembangan lain, Hattan bakal muncul sebagai juri bersama penyanyi Datuk Awie dan Mas Idayu dalam program Mic On! musim kedua (MO2). Diberi tugas duduk di kerusi juri, Hattan berkata dia tidak gentar jika ada penonton yang akan mengkritik cara penjuriannya pula.

"Biasalah kena kecam. Saya tidak peduli. Kecaman itu sebahagian daripada hiburan," jawab Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, 58, secara ringkas.

MO2 menampilkan gandingan Azwan Ali bersama Issey Fazlisham sebagai pengacara. Sementara tiga pelawak terkenal iaitu Ropie, Ajak Shiro dan Fad Bocey ditugaskan sebagai pengurus untuk 15 orang peserta bertanding. Program ini akan disiarkan bermula 28 Januari ini di saluran Awesome TV pada pukul 9.00 malam.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: