22 January 2022

SERING BALUT TEBAL - BAHAGIAN KAKI DIPOTONG BAD INDIGO BERLUBANG, DIJANGKITI KUMAN



"Ada luka baharu, tetapi sudah berlubang pula. Tidak tidak mengapa, saya tetap bersyukur dan berdoa agar cepat sembuh. Bagi yang mendoakan saya beroleh kesembuhan, saya balikkan semula doa ini kepada anda," kata anggota kumpulan Indigo, Bad, 45, apabila kaki kirinya yang dipotong telah mengalami luka, berlubang dan dijangkiti kuman, akibat sentiasa berbalut tebal.

Bekas peserta Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) itu berkata, luka berpunca daripada kakinya yang sering dibalut tebal. Bagaimanapun, kini, sudah mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Bad atau nama sebenarnya, Badrul Izhan Yeop Abdulah memaklumkannya itu menerusi video berdurasi 56 saat yang dimuat naik dalam laman Instagram (IG), baru-baru ini.

"Saya sudah pergi ke PPUM, kelmarin. Mereka terpaksa mengorek sedikit bahagian luka dan membiarkan darah mengalir, sebelum mencucinya. Insya-Allah, tidak akan berlaku jangkitan lagi. Kaki saya mengalami jangkitan kuman kerana sering dibalut tebal. Selepas ini, balutan perlu dikurangkan bagi mengelakkan jangkitan berulang," tuturnya yang dipetik sebagai berkata kepada Berita Harian.

Bad menjalani pembedahan membuang tiga jari kaki sebelah kiri akibat diabetes kronik di PPUM pada Mei lalu. Sebelum itu, satu jari kaki kiri sudah dipotong sebelum Ramadan, tahun lalu. Pada September lalu, Bad sekali lagi diuji apabila jari terakhir kaki kiri dan setengah tapak kaki terpaksa dipotong. Sementara sebahagian kulit tapak kaki ditolak ke atas dan terpaksa dijahit.

Klik untuk gambar besar



Pembedahan itu membuatkan pergerakan Bad terbatas sehingga terpaksa berjalan dengan bantuan kerusi roda akibat tidak boleh memijak lantai. Rentetan kepayahan dialami, Bad layak menerima kad Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ekoran kecacatan kekal dan bantuan fizikal diperlukan.

Pada Disember lalu, Bad mendedahkan segan menerima bantuan daripada JKM dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), walaupun sudah lama tidak menerima undangan nyanyian akibat pandemik, selain keadaan diri menyebabkan pergerakannya terbatas.

Bad memiliki kepakaran membuat kertas kerja terpaksa akur apabila penganjuran acara tidak dapat dilakukan buat masa ini. Namun, suami kepada penyanyi Ashira Aziz itu berpendapat, lebih ramai golongan lebih memerlukan berbanding dirinya. Dia ingin berusaha sendiri dan akan mencari JKM atau LZS sekiranya benar-benar memerlukan.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: