09 February 2022

HAIL AMIR & SUAMI SALWA ABDUL RAHMAN TERIMA GELARAN DATUK



Pada istiadat di Istana Negara pagi Selasa, penyanyi dan pelakon popular era 70-an, Hail Amir dan suami kepada penyanyi Salwa Abdul Rahman iaitu bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Kuala Lumpur, Subadron Abdul Aziz telah dikurniakan gelaran darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Setelah 50 tahun berkecimpung dalam dunia seni, Hail atau nama sebenarnya Abdul Hail Amir, 74, berkata kurniaan tersebut adalah satu penghargaan yang ingin dikongsi dengan peminat setiannya. Tambah Hail, Darjah Kebesaran PMW yang dikurniakan memberi makna cukup besar.

"Saya rasa amat terharu dengan penganugerahan ini. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang masih mengingati dan meminati insan bernama Hail Amir ini. Saya dimaklumkan mengenai penganugerahan ini kira-kira seminggu lalu. Apabila ada pihak hendak beri anugerah, saya terima dengan hati terbuka.

"Selain penghargaan atas sumbangan yang diberi dalam dunia lakonan dan nyanyian, saya bersyukur pingat kebesaran dianugerahkan ketika hayat saya masih ada. Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kerana menghargai dan tidak mengetepikan insan seni seperti kami," ujarnya.

Hail memulakan kerjaya seni sebagai penari kebudayaan di Badan Budaya di bawah Kementerian Belia dan Sukan pada awal 70-an. Bakatnya mula menyerlah apabila ditawarkan watak utama dalam filem pertamanya Jiwa Remaja di samping Uji Rashid dan Datuk Yusof Haslam.

Klik untuk gambar besar



Antara filem lain yang dilakonkannya ialah 'Menanti Hari Esok', 'Ribut Barat' dan 'Anita Dunia Ajaib'. Hail turut popular dengan beberapa lagu antaranya 'Wajah Kesayangan Hamba', 'Hujan', 'Tanda Kasih', 'Kabus' dan 'Merpati Dua Sejoli'.

Penyanyi ini mempunyai seorang isteri bernama Safiah Ibrahim dan empat cahaya mata. Sehingga kini beliau masih aktif menerima undangan nyanyian biarpun tidak sekerap dahulu.

"Setiap hujung minggu, saya menghiburkan pengunjung restoran D'Empangan Udang Galah, Putrajaya bersama penyanyi lain seperti Rohana Jali, Shidee, Razis Ismail dan ramai lagi. Saya bersyukur kerana pada usia begini, saya dikurniakan kesihatan baik," katanya.

Selain Hail dan suami Salwa, seramai 57 individu lain juga menerima darjah kebesaran PMW yang membawa gelaran “Datuk” sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022.

Turut menerima PNW ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, atlet lompat jauh paralimpik negara Abdul Latif Romly dan bekas atlet terjun negara Leong Mun Yee.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: