08 February 2022

IQBAL BERSEDIA TARIK DIRI KALAU TERLALU BURUK - HATTAN TAMPIL BIDAS



"Sesampai di rumah, saya muntah kerana terlalu banyak berfikir, kecewa dengan persembahan sendiri. Waktu menyanyi di pentas, saya tidak dapat kesan suara nyanyian saya seteruk yang terpapar di TV tadi.

"Saya terima sepenuhnya markah juri berikan. Apa yang netizen katakan nyanyian saya sangat rosak, saya sendiri pun bersetuju. Saya rasa bersalah pada ASTRO dan semua yang telah berikan saya peluang. Maafkan saya cikgu jika ini mengecewakan.

"Saya mohon jasa baik semua, berikan sedikit pertimbangan untuk saya yang bukanlah seorang yang terdidik sebagai seorang penyanyi apatah lagi di pentas sehebat itu. Segalanya kejutan. Tidak sempat latihan seperti peserta lain.

"Berikan saya peluang untuk belajar. Tidak mengharapkan kemenangan, seminggu sahaja lagi, kalau terlalu buruk, saya sendiri akan tarik diri walaupun tiada penyingkiran di minggu hadapan," kata usahawan sensasi, Ahmad Iqbal Zulkefli menerusi laman Instagram miliknya.

Klik untuk gambar besar



Iqbal berharap agar semua pihak memberikan dirinya sedikit pertimbangan kerana dia bukanlah seorang penyanyi serta tidak sempat melakukan latihan. Dalam pada itu, Iqbal turut meminta agar diberikan peluang untuk belajar dalam program tersebut dan bersedia untuk menarik diri jika persembahannya teruk di minggu hadapan.

Sejak semalam hangat diperkatakan apabila Iqbal yang diumum sebagai peserta program Big Stage 2022. Perkara itu turut mendapat perhatian penyanyi Datuk Hattan yang menyeru penyiar TV perlu ada rasa tanggungjawab untuk mengangkat industri hiburan ke tahap lebih tinggi.

Kata Hattan lagi, Iqbal bukanlah seorang penyanyi yang bagus serta mempersoalkan mengapa dia dipanggil untuk menyertai program nyanyian itu.

"Apa yang cuba dilakukan (pihak penyiar)? Kalau ya pun nak rating, tak payah sampai begitu, banyak cara lain lagi. Takkanlah pihak produksi sewaktu sesi raptai tak tahu bagaimana persembahannya? Kamu tahu peserta itu tak boleh nyanyi? Kenapa kamu panggil juga?



"Ini seperti yang pernah saya cakap sebelum ini. Dalam program itu ada peserta dari Indonesia. Kalau orang Indonesia tengok beginilah kita punya (penyanyi) kualiti?

"Kasihan 11 (peserta) yang lain bertanding beria-ria. Hanya kerana ada satu atau dua juta pengikut, oh sudah layak? Walaupun persembahan standard begitu, punya sampah," ujar Hattan yang tidak menafikan gimik seperti itu sekaligus memberi impak dari segi pemasaran namun ianya memalukan industri hiburan tanah air.

Dalam pada itu, Hattan turut terkilan kerana pertandingan diadili penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza itu sepatutnya dibuat selari dengan standard jauh lebih baik.

"Kita kena ada jati diri, ada maruah. Nyanyi, nyanyi juga, maruah sangat penting. Kepada pihak produksi, fikirlah secara waras sebelum buat keputusan untuk buat satu-satu programlah," tambahnya lagi.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: