12 February 2022

JUAL MAKANAN DALAM TALIAN - ZAMANI AKUI TAK MALU, MAHU CARI PENDAPATAN TAMBAHAN



Penyanyi kumpulan Slam, Zamani Ibrahim, 51, kini dilihat telah mengambil inisiatif dengan menjual makanan nasi udang Manila secara dalam talian. Mengulas tindakannya, Zamani berkata dia tidak kisah apa pandangan orang kerana tujuan utamanya ialah memanfaatkan peluang sementara namanya masih dikenali.


Jelas Zamani, dia cuba menceburi perniagaan itu sejak beberapa bulan lalu untuk mencari pendapatan tambahan. Menurut Zamani, dia akan menyambung semula perniagaannya selepas ini secara dalam talian.

"Tak kisahlah orang nak cakap apa. Pada saya, kita kena bangunkan perkara ini sekarang, waktu kita masih ada populariti dan pekerjaan. Kalau sampai waktu populariti sudah merudum dan terdesak baru nak buat dan mulakan, mungkin akan menjadi satu tekanan hidup pula.

"Kalau bangunkan waktu sekarang, apabila buat perkara ini secara serius nanti orang sudah tahu dan namanya pun sudah kuat. Ia tak jadi masalah untuk pasarkannya.

"Nasi udang Manila ini adalah resipi arwah ibu mentua saya. Ia sempat diturunkan kepada isteri saya, Julie dan dia yang masak. Penghantaran di kawasan terdekat dibuat oleh saya sendiri serta atas permintaan istimewa pembeli, manakala di kawasan agak jauh menggunakan penghantar makanan.

"Alhamdulillah, sambutan untuk menu ini agak okey. Namun kalau saya sibuk dengan aktiviti seni, ia terpaksa dihentikan sekejap. Kami tak jual di restoran. Kami akan ambil pesanan secara terbuka dalam talian dan tengok pada sambutan. Tengoklah kalau berkembang, kami akan pergi ke arah yang lebih besar seperti buka restoran.

"Saya sebenarnya hantar sendiri tanpa caj dan peminat gembira dapat bergambar dengan saya. Setakat ini paling jauh saya buat penghantaran ialah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," ujarnya yang dipetik sebagai kepada Harian Metro.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: