12 February 2022

KECEWA STESEN TV TERDESAK RATING TINGGI - IRAMA HARAP ADUAN DITERIMA KKMM, SIASAT IQBAL



Tindakan sebuah stesen televisyen yang mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan ramai menerusi program terbitan mereka minggu lalu, telah mendapat perhatian Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) yang meluahkan kecewa.


Presidennya, Ayob Abd Majid berkata, pembabitan peserta yang tidak berkualiti dalam program itu ibarat memperlekehkan bakat seseorang yang dianugerahkan Tuhan.

"Insan berbakat adalah kelebihan pada diri seseorang yang Tuhan beri pada manusia untuk dimanfaatkan dan bukan untuk diperlekehkan. Kita sudah dikejutkan dengan tindakan mereka yang sama sekali tidak peka dengan peri penting imej dan nilai penggiat seni negara ini. Bagaimana nilai seorang insan yang berbakat seni diukur?

"Adakah stesen TV ini terdesak untuk memiliki rating yang tinggi sehingga sanggup membuat program yang sangat memualkan. Tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh mereka ini sudah menjadikan program yang dimaksudkan bukan meraih publisiti tapi satu tindakan yang sangat bodoh dan memalukan negara.

"Pentas yang sepatutnya menjadi medan beradu bakat untuk mencari yang terbaik dari yang terbaik sudah bertukar menjadi pentas sampah," ujarnya menerusi satu kenyataan kepada media yang turut berkata bidang seni di negara kita seharusnya dibantu oleh pihak media elektronik seperti stesen TV dalam memartabatkan dan menaikkan nama industri seni.

Ayob berkata, IRAMA mewakili semua penggiat seni tanah air sangat berharap kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) agar program yang sedang dijalankan di stesen televisyen terbabit segera dihentikan.

"Keputusan ini diambil kerana mengambil kira sikap stesen TV terbabit yang semakin galak membuat program-program hiburan yang memalukan. Kami berharap aduan kami diterima dan didengari oleh pihak KKMM dan semoga kejadian seperti ini tidak berulang kembali.

"Negara yang sedang membangun seperti Malaysia seharusnya sudah mempunyai himpunan program seni hiburan yang bermutu dan bukan program yang memalukan negara," tuturnya.

Menurutnya, sudah sampai masanya pemikiran mereka yang bertugas di media elektronik seperti stesen TV menghasilkan idea yang berkualiti dan mampu meletakkan satu syarat atau garis tetap yang bermaruah kepada mana-mana pihak yang menjadi penaja.

Dalam pada itu, Ayob berharap KKMM melakukan siasatan terhadap kenyataan peserta program terbabit, Iqbal yang secara jelas menyatakan dia tidak menjalani kuarantin tujuh hari selepas balik dari Indonesia.

"Dia sendiri yang beritahu perkara ini ketika di atas pentas. Sebaik pulang ke Malaysia, dia terus buat persembahan pada program ini. Satu lagi isu ialah, Iqbal juga tidak menjalani sesi uji bakat berbanding peserta lain, tapi diserap secara automatik. Stesen terbabit juga perlu jelaskan perkara ini kenapa Iqbal dapat laluan khas?," soalnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: