16 February 2022

KINI PAKAI LAMPIN PAKAI BUANG - M DAUD KILAU HARAP TIADA LAGI KELUAR BERITA GEMPAR



Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau, 84, kini kudratnya tidak segagah dahulu apabila hanya mampu menghabiskan sisa hidup dengan berehat atas katil selain terpaksa memakai lampin pakai buang, sejak seminggu lalu, berikutan masalah pembuangan dan kerap kencing.


Tahap kesihatan penyanyi lagu malar segar, 'Sirih Pinang' dan 'Cek Mek Molek' itu masih sama selepas menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) pada 2020.

Sebelum itu, M Daud atau nama sebenar, Muhammad Daud Kilau berdepan masalah kesihatan sejak enam tahun lalu. Beliau yang menghidap penyakit kencing manis sudah tidak boleh berdiri lama selain kebas kaki, tangan dan sakit pinggang. Selain itu, daya pendengarannya semakin kurang.

M Daud berkata, kesihatannya masih sama dan bergantung kepada ubat-ubatan. Malah, beliau perlu ke Klinik Kesihatan Bagan Datuk dan Hospital Teluk Intan (HTI) untuk melakukan pemeriksaan secara berkala.

"Kesihatan masih sama. Namun, saya boleh berjalan dan menguruskan diri dengan bantuan keluarga. Cuma, sekarang saya lebih banyak berehat atas katil. Dalam masa sebulan, dua atau tiga kali saya kena ke klinik, hospital atau IJN untuk melakukan pemeriksaan.

Klik untuk gambar besar



"Saya bersyukur sudah tidak sesak nafas selepas menjalani pembedahan angioplasty. Saya kurang berselera makan, tetapi tetap makan. Alhamdulillah, Allah masih memberi peluang kepada saya sihat seperti ini. Harap peminat mendoakan kesihatan saya," katanya.

Bagaimanapun, M Daud melahirkan rasa terkilan apabila kisah lama mengenai kesihatannya semakin merosot dan memerlukan bantuan, kembali tular dalam media sosial. Beliau juga tidak berdepan masalah kewangan dan tahap kesihatan tidak terlalu serius seperti digambarkan.

"Saya terima jika ada yang mahu memberi sumbangan dan sebagai tanda ingatan. Saya berharap tiada lagi keluar cerita yang menggemparkan seperti ini," ujarnya.

M Daud diserang sesak nafas hingga terpaksa dimasukkan ke HTI dan diberikan bantuan oksigen pada November 2020. Kemudian M Daud berdepan masalah injap jantung sempit dan menjalani prosedur pembedahan angioplasty pada bulan sama.

Pelakon filem 'Man Laksa' kini tidak mengalami sesak nafas dan tidak tercungap-cungap lagi selepas tiga salur darah dimasukkan alat sten dalam pembedahan berkenaan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: