13 February 2022

"REZEKI BERTUBUH COMEL MENYEBABKAN SAYA MAMPU BERTAHAN HINGGA LEBIH TIGA DEKAD" - SYANIE



Pelakon dan pelawak, Syanie Hisham, 48, nampaknya masih utuh dalam perjuangannya meskipun sudah lebih tiga dekad bergelar anak seni. Nyata, bentuk fizikal bukan masalah besar buat Syanie apabila rezekinya sentiasa ada, malah pernah mencipta gelombang populariti menerusi filem-filem komedi suatu ketika dahulu.


Biarpun anak kepada penerbit filem, Ruhanie Abdul Rahman itu pernah membuat pembedahan pintasan perut atau 'gastric bypass', namun, Syanie menadah kesyukuran, rezekinya yang hadir tetap bersandarkan kepada alasan bentuk fizikal, bukan watak semata-mata.

"Pada penghujungnya, saya selesa bertubuh comel. Saya tidak perlu kurus untuk menjadi orang lain. Rezeki bertubuh comel menyebabkan saya mampu bertahan hingga lebih tiga dekad dalam industri lakonan. Saya fikir, kalau terlalu popular pun sampai bila? Jadi, saya bersyukur dengan apa sahaja nikmat dikurniakan.

"Sejak dahulu, saya berjuang bukan mahu mengejar anugerah. Saya selalu percaya watak dilakonkan selama ini tak akan dilihat sebagai faktor yang boleh membuatkan saya menang," tuturnya yang dipetik sebagai kepada Berita Harian.

Klik untuk gambar besar



Diperkenalkan menerusi filem 'XX Ray' pada 1992, Syanie menyifatkan dirinya beruntung kerana berpeluang merasai penggambaran ketika menggunakan filem 'kodak'.

"Pengalaman ini sangat berharga, mungkin ramai sudah lupa, manakala pelakon generasi baharu tidak dapat merasainya. Cuma, penggambaran zaman guna filem 'kodak' itu tidak boleh melakukan kesilapan berlakon.

"Jika salah, rugi 'kodak' dan boleh mendatangkan kerugian. Zaman sekarang, kalau silap boleh merakamkan semula babak. Namun, begitulah putaran masa dan zaman, sentiasa ada anjakan dan perubahan," katanya.

Mengulas soal peribadi, Syanie atau nama sebenarnya, Syaniza Hisham yang mendirikan rumah tangga kali ketiga pada Februari, tahun lalu, berkata, dia perlu membiasakan diri dengan alam berumah tangga selepas sekian lama hidup bersendirian.



"Cuma, kalau boleh suami, Zahril Hafiz Mohammed Nor tidak mahu saya menjalani penggambaran di luar Kuala Lumpur terlalu lama. Lagipun, kami tinggal bersama mummy, jadi, suami agak canggung tanpa saya di rumah.

"Jujurnya, saya memang ada perancangan mahu tinggal di rumah sendiri selepas berkahwin. Cuma, keadaan kesihatan mummy agak turun naik dan memerlukan perhatian saya serta adik beradik. Suami faham saya perlu menjaga mummy, jadi, kami sepakat tinggal dengan mummy," jelasnya.

Katanya, suami juga tidak kisah soal berat badan selagi tahap kesihatannya baik. Kini, Syanie rancak menjual sarung tangan dan baju bersaiz besar dalam media sosial. Memilih perniagaan baju dan sarung tangan disebabkan sukar mencari baju bersaiz besar yang sesuai.

"Alhamdulillah, tahap kesihatan masih okay. Suami pula jika kami ke pusat beli-belah selalu akan melekakan saya dengan mengajak berjalan-jalan setiap tingkat yang ada. Dalam usia sekarang, dapat buat 3,000 langkah pun sudah memadai. Berat saya juga turun empat kilogram (kg), baru-baru ini. Kini, berat saya sudah 136 kg," tuturnya.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: