28 February 2022

ZALIF SIDEK SELAMAT NIKAH



Pada Sabtu lalu, pelakon Zalif Sidek, 37, telah pun selamat bernikah dengan wanita pilihan juga ahli perniagaan, Anis Nurnajwa Ahmad Marzuki, 29, selepas enam bulan mengikat pertunangan.


Majlis pernikahan dan persandingan Zalif bersama isteri berlangsung di CMi Hall & Event Space, Berjaya Megamall, Kuantan, Pahang dengan hanya dihadiri keluarga rapat kerana mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Zalif ketika dihubungi berkata, dia bersyukur kerana majlis pernikahan dan persandingannya bersama isteri berjalan lancar walaupun keadaan cuaca tidak menentu.

Kata Zalif lagi, kehadiran Anis di sisi sebagai anggota baharu dalam keluarganya juga adalah penyeri serta boleh menemani ibunya di rumah selepas kehilangan arwah bapa, tahun lalu.

Klik untuk gambar besar



"Alhamdulillah, saya sah menjadi suami Anis dengan sekali lafaz pada jam 10.30 pagi. Pada majlis itu, saya menyerahkan mas kahwin RM22.50 berserta wang hantaran RM20,000.

"Tak dinafikan, perasaan berdebar dirasai sebelum akad nikah sukar nak digambar kerana auranya amat berbeza. Maklumlah, majlis pernikahan sendiri yang menandakan saya sudah sedia menggalas tanggungjawab besar sebagai ketua keluarga.

"Kehadiran Anis ini umpama Allah ganti semula keceriaan dalam keluarga saya selepas papa meninggal dunia, tahun lalu. Kini, ibu saya ada rakan dan teman baharu di rumah kami.



"Saya dan Anis akan tinggal bersama ibu kerana sejak arwah papa meninggal, memang saya yang menjaga ibu. Alhamdulillah, syukur Anis juga faham tanggungjawab saya sebagai anak lelaki dalam keluarga," ujarnya yang dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro.

Zalif yang tidak merancang soal zuriat juga memaklumkan dia bercadang membawa isterinyanya berbulan madu dengan mengerjakan umrah ke Tanah Suci pada tahun depan bersama keluarga.

Tidak hanya itu, Zalif juga merancang mengadakan satu majlis resepsi perkahwinan di ibu kota untuk diraikan bersama sanak saudara serta rakan yang tidak dapat hadir ke majlisnya baru-baru ini.

Terdahulu, Zalif dan Anis bertunang pada 20 Ogos tahun lalu. Perhubungan Zalif dan isteri difahamkan terjalin selepas mereka diperkenalkan keluarga.






         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: