05 March 2022

AHMAD IDHAM RANCANG BERTEMU MUHYIDDIN YASSIN BAGI BERSIHKAN NAMA & MINTA NASIHAT



"Sangat kelakar. Saya mahupun Eizlan tidak pernah menyatakan hasrat terjun ke dunia politik. Kami hanya menyokong Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang. Jika itu menjadi alasan diberhentikan, lihat balik kenyataan Saifuddin dalam Parlimen. Beliau pernah menyatakan, tiada halangan buat saya dan Eizlan menyertai politik kerana ia adalah hak individu.


"Jadi, isu ini membuatkan saya dan Eizlan lebih keliru. Menerusi laporan media, dakwaan dibuat menerusi sumber, bukannya kenyataan Saifuddin. Namun, ramai menganggap Saifuddin mengeluarkan kenyataan susulan kenyataan itu. Saya tidak merasakan begitu kerana beliau membenarkan kami menyertai politik," ujar Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri yang menjelaskan dia tidak pernah menyatakan secara umum untuk menyertai parti politik.

Ahmad Idham berkata dia dan Datuk Seri Eizlan Yusof menyifatkan dakwaan ditamatkan kontrak dalam tempoh 24 jam daripada Kementerian Luar berikutan bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di bawah tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai sangat kelakar.

"Kami belum menerima lamaran daripada mana-mana parti politik. Setakat ini, saya hanya terbabit dalam aktiviti politik di kawasan parlimen Saifuddin, iaitu Indera Mahkota. Mungkin ada pihak tertentu mahu merosakkan imej Saifuddin. Namun, menjadi persoalannya adakah ini juga cubaan melagakan kami, sedangkan Saifuddin tidak pernah menghalang jika kami menyertai politik," katanya.

Tambah Ahmad Idham, sekiranya serius menyertai politik, pihak yang berhak memutuskannya adalah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ekoran itu, Ahmad Idham berkata, dia mempunyai perancangan bertemu Muhyiddin bagi membersihkan namanya.

Klik untuk gambar besar



"Ada hikmah atas apa yang berlaku. Ia juga mungkin membuka laluan untuk saya dan Eizlan meneruskan kerja di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR). Namun, saya tidak pasti sama ada menggunakan wadah politik atau badan bukan kerajaan (NGO). Apapun, kami memang berhasrat bertemu Muhyiddin untuk berbincang.

"Ini kerana ada tohmahan mengatakan Bersatu tidak menerima saya menyertai mereka, itu memburukkan nama saya. Mungkin Presiden Bersatu pun tidak tahu mengenai permainan ini. Permainan ini boleh menjatuhkan Bersatu. Jadi, saya kena bertemu dengan Muhyiddin bagi meminta nasihatnya. Hanya presiden parti mempunyai kuasa menentukan sesiapa layak menjadi calon atau sebaliknya," tuturnya.

Diminta mengulas dakwaannya tidak menerima bayaran tinggi berbanding kedudukan sebelum ini, Ahmad Idham berkata, duit bukanlah isu yang perlu digembar-gemburkan.

"Niat asal saya dan Eizlan menyertai Kementerian Luar kerana mahu meletakkan satu unit yang boleh membantu industri kreatif menjadi satu jambatan bagi mempermudahkan transaksi atau aktiviti pasaran antarabangsa. Jadi, saya mengambil peluang untuk meluaskan rangkaian.

"Bagi saya, duit bukan satu isu. Jika duit isunya, kenapa saya ketepikan manfaat diterima ketika memangku jawatan dalam Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Orang kena tahu saya ini bukanlah penjawat awam mahupun ahli politik, saya adalah penggiat seni. Penghujungnya, saya tetap kembali kepada industri kreatif," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: