12 March 2022

AKIBAT DARAH BEKU - INGATAN DWAN OLAN BELUM PULIH



"Alhamdulillah, suami sudah boleh bergerak. Sehari selepas dimasukkan ke hospital, suami menggerakkan tangan dan kaki. Pagi tadi (semalam) saya dimaklumkan suami sudah boleh turun katil dan bergerak atas bantuan doktor. Pada hari suami dikejarkan ke hospital, separuh badan sebelah kiri langsung tidak boleh digerakkan sebaik sahaja tiba di hospital, Rabu lalu.


"Doktor beritahu suami kuat semangat, cuma ingatan belum pulih dan mungkin mengambil masa memandangkan pembuluh darah suami pecah," demikianlah kata isteri kepada penyanyi kumpulan Olan, Dwan, 60, iaitu Zarina Anuar mengenai keadaan keadaan suaminya yang diserang angin ahmar dan positif C0V1D sejak Rabu lalu mula menunjukkan perkembangan positif.

Isteri Dwan atau nama sebenarnya, Mohd Redzwan Yasin berkata, suaminya sudah boleh berjalan tetapi dengan bantuan doktor. Bagaimanapun, katanya, ingatan penyanyi yang pernah popular menerusi lagu 'Cinta Bandar Tasik Selatan' itu belum pulih.

Zarina berkata, dia tidak dapat menjenguk suami yang kini sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh berikutan positif C0V1D. Malah, dia dan keluarga turut menjalani kuarantin kerana menjadi kontrak rapat. Namun, prosedur pembedahan tidak dapat dilakukan disebabkan faktor usia. Dwan diberikan ubat pencair darah bagi mencairkan darah beku pada bahagian otak.

"Suami tidak kenal sesiapa termasuk diri sendiri, saya, anak dan adik-beradik. Doktor memaklumkan, ia berpunca daripada darah beku pada otak yang menyekat memori. Jadi, ia memerlukan masa mencairkan darah dalam otak suami. Doakan suami saya kembali sihat," katanya.

Berkongsi insiden yang berlaku, Selasa lalu, Zarina berkata, Dwan mengalami demam, jadi, dia minta suaminya menjalani kuarantin kerana bimbang dijangkiti C0V1D.

"Pada sebelah malam, suami datang ke bilik untuk mandi kerana ingin menggunakan pemanas air. Namun, saya perasan perubahan pada wajahnya seperti senget sebelah. Apabila saya beritahu wajahnya senget, suami segera melihat cermin. Dia pegang wajahnya, kemudiannya memegang wajah saya pula. Namun, katanya tiada apa perlu dirisaukan.

"Keesokannya, suami sekali lagi masuk ke bilik untuk mandi. Sebaik saja keluar tandas, saya lihat wajah suami sudah jatuh. Saya mengajaknya ke hospital, tetapi dia enggan. Dari dulu lagi, dia payah sikit setiap kali diajak ke hospital.

"Kemudian, anak berusia 15 tahun mengajak suami menemaninya ke bank untuk mengeluarkan duit. Ketika itulah anak perasan ingatan suami sudah hilang kerana sukar mengingati jalan ke stesen minyak dan pulang ke rumah," jelasnya.

Menurut Zarina, sebaik pulang anaknya terus meraung kerana bimbang melihatkan keadaan bapanya: "Saya terus menghubungi adik-beradik untuk meminta pendapat, lalu disuruh menghubungi ambulans. Saya memang risau melihatkan keadaan suami ketika itu. Dia pula masih berkeras tidak mahu ke hospital, tetapi kakaknya suruh juga saya menghubungi ambulans.

"Keadaan suami masih okay ketika dalam ambulans. Namun, bahagian kiri badan suami langsung tidak boleh bergerak sebaik tiba di hospital dan terus dimasukkan ke zon merah," kongsiya.

Zarina berkata, suaminya dibawa ke Hospital Sungai Buloh, jam 3 petang, tetapi dia tidak dibenarkan bertemu dengannya: "Mulanya, pihak hospital tidak membenarkan saya pulang agar senang hendak memaklumkan perkembangan suami. Namun, suami ditukarkan ke zon kuning tidak lama kemudian. Ketika hampir Maghrib barulah saya dibenarkan pulang.

"Saya sendiri sebenarnya tidak berapa sihat kerana mengalami masalah jantung. Jadi, doktor meminta saya duduk di satu tempat jauh daripada orang ramai kerana bimbang dijangkiti C0V1D," kata Zarina lagi yang resah tidak dapat bertemu suami, tetapi akan menghubungi hospital untuk mengetahui perkembangan terkini suaminya, setiap pagi.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: