07 March 2022

BERSYUKUR MATLAMAT TUNAI UMRAH BERJAYA - AYU DAMIT TERKILAN MADINAH TAK DAPAT MASUK



Menunaikan umrah pada 20 Februari dan pulang pada 2 Mac lalu, penyanyi Ayu Damit meluahkan rasa kecewa dan terkilan apabila gagal memasuki Madinah atas sebab tiada slot.


Ayu berkata, prosedur operasi standard (SOP) di sana sangat ketat dan mereka perlu mendaftar menerusi aplikasi disediakan. Menurutnya, hampir semua anggota rombongan dari sebuah agensi umrah ini gagal memasuki Madinah.

"Berbanding Masjidil Haram di Makkah, kawalan di Madinah lebih ketat. Saya gagal untuk mengunjungi Raudhah yang terletak di dalam kawasan Masjid Nabawi.

"Hanya seorang pakcik yang dapat masuk ke situ. Jemaah lelaki memang senang kerana ada slot, tapi jemaah wanita agak susah kerana tiada slot. Minta jasa baik pun tak dapat. Ramai juga jemaah termasuk dari Indonesia tak dapat masuk.

Klik untuk gambar besar



"Kami dah dipesan dari awal supaya daftar di aplikasi dan ikut apa yang disuruh. Namun apabila sampai di sana kami dapati slotnya penuh setiap masa. Saya memang nak sangat menziarah makam Rasulullah SAW dan banyak berdoa di situ, namun akur tiada rezeki," katanya.

Ayu yang pergi bersama rakan artis, Nita Hamzah berkata, dia tetap bersyukur kerana matlamat untuk menunaikan umrah berjaya dilaksanakan.

"Ia bukan perkara mudah kerana untuk masuk Kaabah pun agak sukar sebab ia dibuka untuk jemaah umrah saja. Mereka yang bukan untuk tujuan itu tak dibenarkan masuk. Kena mohon slot umrah. Tujuan saya nak masuk dalam pun untuk solat di Masjidil Haram. Kalau tak sempat masuk, saya kena solat di belakang.

"Apapun saya sangat bersyukur. Enam hari di sana, saya gunakan sebaik mungkin. Saya banyak berada di masjid dan minta apa saja yang dihajati," katanya yang pergi ke sana buat kali kedua.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: