07 March 2022

BUAT KEJUTAN - RUPANYA SYAMEL GANTI ERNIE ZAKRI DI PENTAS AJL-36



Nampaknya segala teka teki mengenai siapa bakal menggantikan penyanyi Ernie Zakri menerusi lagu 'Boneka' itu akhirnya terjawab apabila suaminya sendiri, penyanyi Syamel dipilih menyampaikan lagu tersebut pada pentas Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL 36), malam tadi.


Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 30, ketika dihubungi berkata, pemilihan Syamel adalah tepat selain beranggapan suaminya itu memiliki kualiti dan identiti tersendiri.

"Sewaktu keputusan separuh akhir diumumkan, saya memang sudah dapat tahu tak dapat menyanyi pada masa AJL 36 malam ini sebab tarikh jangkaan bersalin sudah ada. Kalau tarikh hari ini pun saya masih belum bersalin saya tetap tidak boleh menyanyi juga kerana sudah sarat. Jadi, AJL 36 ini bukan rezeki saya untuk menyanyi tahun ini.

"Disebabkan itu saya siap-siap merancang dengan pihak Rocketfuel dan minta kebenaran suami sendiri untuk dia jadi penyanyi ganti lagu Boneka. Sudah tentu kalau cari penyanyi berkualiti, suami saya ada perkara ini. Saya rasa tengok pada persembahan malam ini apa yang kami rancang bersama harapnya mendapat tempat di hati peminat.

"Menang atau tidak, terpulang pada juri. Sebab juri ada hak menentukan. Tetapi, saya harap kita dapat tangkap hati peminat walaupun saya tidak dapat bertanding. Saya pun sentiasa sokong dia.

"Atas dasar profesional, saya sendiri melihat Syamel seorang penyanyi yang bagus, ada identiti sendiri dan itu mencukupi untuk dia membawakan sesuatu lagu. Tak perlu ada Ernie Zakri, tak perlu ada sesiapa, hanya menjadi diri sendiri di atas pentas. Itu yang saya mahukan," ujarnya yang dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro.

Klik untuk gambar besar



Menurut Ernie, keputusan memilih Syamel antara lain bagi mengelakkan wujud perbandingan: "Pada saya mudah untuk bekerja dalam keadaan macam ini iaitu sedang berpantang. Mudah untuk saya berbincang dan bekerja sebab dia suami saya. Satu lagi, kenapa kena cari orang lain, sudah ada suami sendiri dan dia penyanyi, jadi ambil Syamel.

"Saya rasa walaupun mesej lagu ini wanita, tapi saya cuba nak lelaki dan Syamel sendiri yang buat persembahan dan melihat hala tujunya dalam lagu ini agak istimewa sebab dia buat cara tersendiri mengikut apa yang saya persetujui juga.

"Bukanlah hanya perkataan senang sebab dia suami, tapi saya rasa penyanyi lelaki adalah terbaik untuk saya minta galas tanggungjawab ini. Sebabnya saya berasakan tidak perlu ada apa-apa perbandingan atau apa saja yang timbul selepas saya pilih penyanyi wanita.

"Sudah tentu penyanyi lelaki atau wanita pasti ada perbandingan juga, tapi peluang untuk dibandingkan itu adalah sangat tipis. Tapi bukanlah nak elak sangat soal perbandingan dan sebagainya, tapi saya perlu ambil seseorang yang ada 'view' yang tepat untuk lagu ini, ada sasaran, visi tersendiri dan seorang yang kreatif," katanya.

Terdahulu, beberapa nama menjadi sebutan peminat menggantikan Ernie pada AJL 36 antaranya Anuar Zain, Ziana Zain dan ramai lagi. Lagu 'Boneka' ialah hasil ciptaan sepenuhnya oleh Omar K, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh. Pada AJL 35 yang lalu, Ernie berjaya dinobatkan pemenang Vokal Terbaik menerusi lagu 'Gundah'.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: