06 March 2022

DAH BOLEH BERGERAK SEDIKIT, BERCAKAP & MAKAN - KELUARGA BERSYUKUR KEADAAN KESIHATAN ALI XPDC BERTAMBAH BAIK



Penyanyi Ali XPDC pada Jumaat lalu telah dikejarkan ke Hospital Ampang apabila tiba-tiba didapati tidak bermaya ketika mahu makan selepas selesai berlatih di studio Eddie (pemain bass) di Pandan Indah. Mereka giat berlatih sebagai persiapan untuk Konsert Jualan Hitam 2022 yang akan berlangsung di Warisan Hall Studio, Banting pada 12 Mac ini.


Terkini, selepas menerima rawatan di Hospital Ampang sejak dimasukkan pada malam kelmarin, keluarga Ali bersyukur apabila keadaan kesihatannya dimaklumkan bertambah baik. Anak keduanya yang dikenali sebagai Myn berkata, mereka mendapat khabar gembira itu daripada doktor yang merawat ayahnya.

"Alhamdulillah, baba dah ada perubahan yang baik dari kelmarin. Doktor kata kemungkinan tiada strok sebab dah boleh bergerak sikit-sikit dan bercakap walaupun perlahan," jelasnya yang dipetik sebagai kepada Harian Metro.

Sementara itu, ahli kelab Sahabat XPDC pula berkata, isteri Ali memaklumkan suaminya kini boleh bercakap dan makan seperti biasa: "Kedua-dua tangan dapat bergerak walaupun tangan kanan agak lemah sikit. Semasa dibawa menaiki ambulans, tangan kanan dan kaki kanannya memang lemah sangat ketika itu.

"Doktor cakap bukan strok atau 'minor strok', cuma Ali kekurangan rehat. Sekarang ini dia berada dalam wad saringan C0V1D. Selepas buat ujian RT PCR, kalau negatif, dia akan dimasukkan ke wad biasa dalam sehari dua untuk dipantau sebelum dibenarkan balik ke rumah. Keadaan jantungnya pun semua okey," katanya.

Dalam perkembangan lain, pemain gitar XPDC, Izo berkata, mereka lega dengan perkembangan terkini Ali dan berharap dia akan segera sembuh: "Malam tadi saya dan seorang rakan ke Hospital Ampang untuk melawat tapi kita sedia maklum tiada sesiapa dibenarkan masuk sekarang.

"Kalau boleh kami mahu mendengar perkembangan Ali dari mulutnya sendiri sebelum memutuskan lebih lanjut mengenai konsert yang bakal diadakan nanti. Daripada situ kami akan buat keputusan sama ada mahu tunda atau menggantikan tempatnya dengan penyanyi lain. Keputusan perlu dibuat kerana peminat dah membeli tiket," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: