13 March 2022

DIBENARKAN PULANG - DWAN OLAN PERLU BEREHAT SELAIN JALANI KUARANTIN DI RUMAH



"Syukur Alhamdulillah, berkat doa dari sahabat dan peminat-peminat semua, Dwan dah kembali sihat sedikit. Terima kasih atas doa semuanya. Ingatannya semakin okey, cuma kata isterinya, Zarina, kadangkala dia ingat-ingat lupa. Ada benda yang dia ingat dan ada juga yang tidak.


"Doktor juga tak benarkan buat urutan dibahagian pipinya yang herot kerana saluran pembuluh darahnya pecah," kata Afee U-topia, rakan baik mengenai keadaan terkini penyanyi Dwan Olan atau nama sebenarnya Mohd Radzuan Yasin.

Dwan, 60, yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) akibat serangan angin ahmar selain positif Covid-19 pada Rabu lalu, sudah dibenarkan pulang ke rumah pada Jumaat lalu.

Afee berkata, Dwan perlu berehat selain menjalani kuarantin di rumah. Menurutnya, doktor hanya benarkan urutan dibuat selepas pembuluh darahnya pulih seperti biasa.

"Buat masa ini Dwan hanya perlu makan ubat yang dibekalkan doktor. Dia juga terpaksa makan dalam keadaan baring sekarang yang disuapkan oleh isterinya. Nak bergerak seperti dulu memang dia tak mampu buat masa ini," jelsnya.

Terdahulu, isteri penyanyi lagu 'Cinta Bandar Tasik Selatan' itu perasan perubahan pada wajah suaminya seperti senget sebelah. Bagaimanapun, Dwan enggan apabila diajak ke hospital memandangkan dia agak payah hendak mendapatkan rawatan di hospital.

Dwan kemudian menemani anak perempuan mereka ke bank untuk mengeluarkan wang dan kemudian didapati sukar mengingati jalan ke stesen minyak dan pulang ke rumah. Zarina akhirnya mengambil keputusan menghubungi ambulans untuk membawa suaminya itu ke hospital.

Sementara itu, Afee berkata, dia berkunjung ke rumah Dwan Khamis lalu untuk menyalurkan barangan keperluan dapur sumbangan Ahli Majlis MPS (Majlis Perbandaran Selayang) di bawah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari.

"Setakat ini tiada lagi sebarang bantuan lain yang diperolehi. Saya bersama artis-artis otai lain antaranya Aris Ariwatan, Azan Scan dan Bagio Damasutra akan bergabung buat persembahan untuk cari dana membantu Dwan.

"Pada 22 Mac ini, kami akan berada di I Dahlia Restoran, Jalan Stonor dan pada 28 Mac di Cabin 8, Selayang. Ada seramai 15 artis akan terbabit. Selain Dwan, dana ini juga akan disalurkan kepada Ali XPDC," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: