12 March 2022

DITERUSKAN TANPA ALI - KONSERT JUALAN HITAM 2022 XPDC DITUNDA TARIKH BAHARU 25 MAC INI



Semua sedia maklum mengenai keadaan Ali XPDC yang kini dirawat di Hospital Ampang dan terpaksa ditidurkan kelmarin setelah mengalami kesukaran bernafas selepas tiba-tiba didapati tidak bermaya ketika mahu makan selepas selesai berlatih di studio milik pemain bass XPDC, Eddie di Pandan Indah sebagai persiapan untuk Konsert Jualan Hitam 2022.


Penganjurnya Sinio.com dalam satu kenyataan berkata, Konsert Jualan Hitam 2022 XPDC yang ditunda pada 25 Mac ini akan diteruskan tanpa kehadiran Ali sebagai penyanyi utama XPDC.

Jelasnya, tempat Ali akan digantikan oleh barisan selebriti sebagai 'tribute' serta pemberi semangat kepada Ali yang kini dirawat di Hospital Ampang selepas ditidurkan akibat mengalami kesukaran bernafas.

"Susulan perkembangan terbaru kesihatan Ali yang masih dalam pemantauan pihak hospital, kami mengambil keputusan untuk memberi ruang kepadanya untuk memastikan tahap kesihatan pulih sepenuhnya. Oleh yang demikian, Konsert Jualan Hitam 2022 XPDC yang ditunda ke tarikh baharu iaitu 25 Mac ini akan diteruskan tanpa kehadiran Ali sebagai penyanyi utama XPDC.

Klik untuuk gambar besar



"Tempat beliau akan digantikan oleh barisan sahabat-sahabat artis yang akan tampil menggantikannya sebagai 'tribute' dan pemberi semangat kepada Ali. Mereka akan menyanyikan lagu-lagu popular nyanyian Ali bersama XPDC di konsert itu nanti. Sinio.com akan mengumumkan nama-nama mereka dalam masa terdekat ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Sinio.com, sebahagian daripada jualan tiket konsert terbabit juga akan disumbangkan kepada Ali sebagai tanda sokongan dalam mengharungi dugaan ini. Tiket Konsert Jualan Hitam 2022 XPDC boleh didapati di laman web sinio.com dengan harga RM18.

"Pihak Sinio.com ingin mengajak sahabat-sahabat dan peminat-peminat XPDC untuk terus menyokong serta mendoakan Ali segera pulih," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: