08 March 2022

LANGGAR SOP, BERPELUKAN ATAS PENTAS AJL36 - SOG, SHILA AMZAH & PENGANJUR AJL36 KENA KOMPAUN



Penganjur majlis Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) serta tujuh individu baru-baru ini telah dikenakan kompaun RM7,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 pada Ahad.


Menurut Timbalan Ketua Polis Dang Wangi, Superintendan Naazron Abdul Yusof, pihaknya mengesan satu gambar yang dimuat naik melalui satu portal berita pada Isnin.

"Gambar itu memaparkan sekumpulan individu sedang berpelukan pada majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC). Kompaun sebanyak RM1,000 telah dikeluarkan kepada setiap seorang termasuk penganjur mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (PPN) 2021," katanya dalam satu kenyataan media.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Naazron memaklumkan kesemua individu yang terlibat telah dipanggil bagi membantu siasatan atas kesalahan ketidakpatuhan SOP PPN Fasa 4 iaitu tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Pada Ahad lalu, pemenang AJL36 iaitu SOG dan Shila Amzah meraikan kejayaan mereka apabila lagu berjudul Pelukan Angkasa diangkat menjadi juara untuk edisi kali ini.

Beberapa keping foto mereka berpelukan di atas pentas menjadi tular dan digunakan oleh beberapa portal berita. Kemenangan lagu itu melayakan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan trofi. Pelukan Angkasa merupakan karya ciptaan Raja Nazrin Shah dan Fazleena Hishamuddin.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: