01 March 2022

MAT OVER NAFI DIRINYA SEORANG YANG PANAS BARAN TAK BERTEMPAT



"Sebenarnya orang tak tahu perkara ini. Tanyalah mana-mana pelakon atau kru adakah saya timbulkan masalah ketika berlakon? Saya memang tiada masalah dan sikap panas baran ini automatik berlaku sewaktu saya bermain bola sepak.


"Biasalah, pemain legenda seperti Eric Cantona pun sama juga, sehinggakan serang penonton," ujar pelakon dan pelawak, Mat Over, 70, yang memaklumkan dia bukanlah seorang yang panas baran tidak bertempat seperti mana sangkaan ramai pihak.

Mat atau nama sebenarnya Sulaiman Mat Yasin berkata, sikap ini hanya lahir apabila dia berada dalam keadaan penat. Pelakon yang terkenal menerusi sitkom 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu' ini tidak menafikan dia nakal kerana dulunya adalah budak jalanan.

"Saya tinggal di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1968. Apabila berlaku peristiwa 13 Mei, saya balik ke Klang. Apabila keadaan kembali tenang, barulah saya kembali semula ke Kuala Lumpur.

"Saya melalui kehidupan jalanan dan pengetahuan saya di jalanan sangat banyak ketika itu," katanya yang sudah meninggalkan sukan bola sepak dan kini aktif dalam sukan sepak takraw.

Menurutnya, dia belajar dari pengalaman dan memandangkan sudah tua, karakter begitu sudah dibuangnya: "Masa saya bujang dulu, saya dipanggil Man Jambu kerana kononnya berwajah kacak. Namun loghat Terengganu saya sangat pekat. Sekarang pun kalau keluar mana-mana, peminat perempuan yang ramai ambil gambar. Yang lelaki agak kurang mungkin takut atau benci.

"Saya sedar saya teruk juga dikecam netizen kerana sikap ini. Tapi kebanyakan mereka budak-budak muda. Yang tua pun ada juga. Kita kena sedar dalam hidup bukan semua suka kita. Kalau takut benda itu, tak bolehlah jadi artis," tuturnya yang akan terbabit dengan penggambaran 'Scammer' musim kedua terbitan Radius One.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: