01 March 2022

ROSLAN SHAH NAFI GIMIK: "TEKANAN DARAH SAYA SANGAT TINGGI IAITU DENGAN BACAAN 220"



Insiden pelakon dan penyanyi, Roslan Shah rebah dan pengsan ketika tampil sebagai tetamu jemputan di program Wanita Hari Ini (WHI) semalam telah didakwa segelintir pihak bahawa itu gimik semata-mata.


Menjawab dakwann berkenaan, Roslan, 50, ketika dihubungi berkata, sekiranya itu hanyalah gimik, tidak mungkin pihak TV3 dan hospital mengeluarkan laporan kesihatan rasmi mengenai penyakit darah tingginya.

"Benda ini bukan gimik. Kalau saya pengsan, mati serta-merta, adakah itu pun orang anggap gimik? Macam-macam dakwaan saya terima sehingga ada orang cakap saya bayar TV3 untuk strategi pemasaran. Benda ini disahkan oleh TV3 dan doktor, tekanan darah saya naik sehingga lebih 220 dan badan panas sebab demam.

"Kalau saya tak demam dan buat gimik, mana boleh keluar keputusan pemeriksaan daripada pihak hospital. Saya pun tak ingin perkara ini berlaku. Saya tak mahu menyusahkan pihak TV3 hingga mereka pun perlu keluarkan kenyataan media," jelasnya.

Menurut Roslan, sekiranya itu adalah gimik, dia tidak akan membiarkan mukanya terhempas di bucu meja yang berada di hadapannya. Roslan yang berasal dari Singapura itu bagaimanapun memaafkan netizen yang membuat spekulasi tidak benar itu.

"Kalau betul-betul gimik, saya tahan dengan tangan dan muka saya takkan kena bucu meja itu. Ini kalau tengok semula video itu, muka saya terhempas di meja. Saya maafkan semua komen-komen negatif daripada netizen itu. Saya sentiasa berfikiran positif. Saya tak pernah bermusuh dengan sesiapa.

"Ada rakan-rakan artis yang beri semangat. Mereka suruh jaga diri dan kesihatan. Ramai artis hubungi tanya khabar saya. Terima kasih kepada orang Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei yang menghantar mesej dan mendoakan kesihatan saya," katanya.

Dalam pada itu, Roslan akui kejadian pengsan dan rebah secara tiba-tiba itu berlaku dengan pantas. Roslan yang mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh itu sudah dibenarkan pulang ke rumah dan berehat, hari ini.

"Sebenarnya sebelum kejadian saya berborak seperti biasa ketika ditemu ramah sehinggalah saya terbatuk dan tiba-tiba tersedak seperti sukar bernafas. Saya jadi pitam dan terus rebah kerana kepala saya pening tapi selepas itu saya separuh sedar dan tak ingat apa-apa yang berlaku dan sedar-sedar saya dihantarkan ke hospital.

Kurang jelas tahap kesihatannya kini, Roslan berkata dia hanya diberitahu oleh doktor tekanan darahnya amat berbahaya. Pun begitu, Roslan menberitahu hasil ujian C0V1D dia disahkan negatif.

"Saya belum berjumpa dengan doktor lagi untuk bertanya lanjut mengenai tahap kesihatan saya, cuma saya diberitahu tekanan darah saya sangat tinggi iaitu dengan bacaan 220. Saya pun terkejut kerana saya tidak pernah mempunyai sebarang penyakit terutama darah tinggi sebelum ini.

"Mungkin kerana dalam minggu ini saya agak sibuk menghadiri banyak show dan sebagainya. Seingat saya juga saya kurang sihat kerana terkena hujan beberapa hari lalu," kongsinya lagi.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: