09 March 2022

NORLIA GHANI: "JANGANLAH BUAT PELAKON VETERAN INI DAPAT HARGA MACAM 'KENTANG BORONG'... "



"Saya akan tolak tawaran yang bayaran dilihat tidak sesuai atau melampau sangat. Walaupun saya tidak 'demand' dalam meletakkan bayaran terlalu tinggi, tetapi biarlah ia setimpal dan berbaloi untuk diterima.


"Janganlah buat kami pelakon veteran ini layak mendapat harga macam 'kentang borong'. Dia mungkin ingat, artis veteran jarang dapat tawaran, maka boleh dibayar berapa saja dan mesti terima," tutur pelakon veteran berkaliber, Norlia Ghani.

Pelakon berusia 73 tahun ini cukup meneliti bayaran yang akan diterimanya sebelum membuat keputusan menerima sesuatu tawaran berlakon yang diberikan syarikat produksi.

Norlia yang popular dengan watak Joyah itu berkata, dia tidak bersikap 'demand' dalam soal bayaran, tetapi sekadar memastikan harga diterima itu setimpal dan berbaloi dengan hasil kerja diberikannya nanti.

Menurut Norlia, dia tetap bertimbang rasa soal bayaran daripada pihak produksi tetapi biarlah apa-apa keputusan yang nak dibuat membabitkan urusan terbabit dibincang dulu.

"Sebagai pelakon, soal bayaran yang diterima kena setimpal dengan hasil kerja dan juga peranan saya di dalam produk itu. Kalau tidak, saya tolak begitu saja.

"Bukan saya seorang saja sering dapat tawaran lakonan yang bayarannya tidak setimpal atau berbaloi untuk pelakon veteran, tapi perkara ini terpulang kepada pelakon juga. Kalau nak terima, ambillah.

"Saya tak mahu jadi artis veteran yang dibuat macam 'kentang borong'. Seolah-olah kalau kita tak ambil tawaran diberikan itu, kita ini lapar," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: