30 March 2022

SAMBUT HARI LAHIR KE-12 - FAZLEY SEBAK KONGSI KISAH ANAK KEDUA BERDEPAN SINDROM SQUEAKY BABY, JANGKA HAYAT 5 TAHUN



Baru-baru ini, penyanyi dan cef selebriti iaitu Datuk Fazley Yaakob telah menyambut ulang tahun kelahiran ke-12 anak keduanya, Ahmad Fieradz Shah. Dalam pada itu, Fazley telah membuka cerita tentang anak keduanya itu dimana dia menghidap sindrom Squeaky Baby sejak lahir.


Pernah dimaklumkan anaknya itu cuma punyai tempoh hayat sehingga usia lima tahun, Fazley yang sebak itu meluahkan rasa syukur masih diberikan kesempatan untuk bersama-sama Fieradz hingga ke usia 12 tahun.

"Fieradz anak kedua saya yang diduga dengan pelbagai cara. Masa Azrene (isteri) mengandungkan dia, hampir keguguran sebanyak lima kali. Bayi tersangkut leher, jantung lemah, kecil sangat dan macam-macam hal lagi.

"Tapi bila Fieradz keluar dia kurang sebulan setengah daripada masa sepatutnya, dia kurus dan tak cukup nutrisi. Rupa-rupanya bila periksa, dia ada lubang berdekatan dengan leher dia dan berdepan sindrom squeaky baby.

Klik untuk gambar besar



"Bila bernafas ada bunyi dan segala rongga badan dia kecut ke dalam. Doktor cakap umur lima tahun kalau dia masih hidup sekali pun kita kena masukkan tiub di tekak dia. Kami ketika itu menangis berpelukan," ceritanya yang dipetik sebagai berkata kepada Astro Gempak.

Melanjutkan bicara, kata Fazley anaknya itu mulai memahami situasi bila mana perhatian lebih diberikan kepadanya berbanding adik-beradiknya yang lain.

"Baru-baru ini sambut hari jadi dia ke-12 dan rasa sangat sedih sebab saya kendong dari kecil, mandikan dan tidur dengan saya. Sampaikan malam-malam saya letak cermin bawah hidung dia, periksa sama ada dia bernafas atau tidak. Saya takut jantung dia berhenti. Hal sama saya buat setiap hari selama 12 tahun!

"Jadi, saya jadi sedih sikit baru-baru ini dia cakap dia dah tak nak tidur dengan saya, tapi bila dia baca posting saya, dia menangis dan rasa bersalah. Dia faham kenapa saya sayangkan dia.



"Kalau dia salah makan, muka semua bengkak dan tekak ketat, akan muntah macam pili air. Kita sebagai parents, menunggu masa untuk anak itu pergi, adalah pengalaman yang orang tak pernah tahu. Sebab itu ramai yang terkejut.

"Tapi syukur, dia boleh main bola, skateboard, kemana-mana saya dukung dia sebab takut dia terjatuh atau terlanggar. Hakikatnya, perasaan menunggu anak meninggal dunia adalah perasaan yang saya tak nak ulangi," tambahnya.

Fazley bagaimanapun cuba mengelak daripada berpisah daripada Fieradz apatah lagi membenarkan anaknya itu melanjutkan pelajaran ke asrama atau ke luar negara nanti.

Untuk makluman, isteri Fazley, Datin Azrene Ahmad pernah 13 kali keguguran sepanjang mendirikan perkahwinan selama 16 tahun.

 
 

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: