23 March 2022

"SAYANG LAGU AJL U..." - RAKAM LAGU 'SUDAH', NIKKI MAHU TUNAI HASRAT ARWAH SITI SARAH



"Saya ada terbaca kenyataan arwah sebelum ini bahawa lagu Sudah sepatutnya diharapkan akan menjadi 'lagu AJL' arwah. Saya ingin tunaikan hajatnya itu dan berdoa jadi kenyataan. Apabila diberikan tawaran menyanyikan lagu itu, saya tahu ia satu tanggungjawab cukup besar untuk digalas. Ia karya yang cukup kuat dan perlukan keadilan dari segi pelaksanaannya.


"Saya sendiri terus jatuh cinta dengan lagu itu. Bahkan kedalaman maksudnya membuatkan saya menangis sewaktu proses rakaman serta penggambaran video muziknya," itulah ujar penyanyi Nikki Palikat, 37, yang berazam membawa lagu 'Sudah' yang sepatutnya dinyanyikan Allahyarham Siti Sarah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) nanti.

Diberi tanggungjawab untuk mengambil alih lagu itu, Nikki berkata, besar harapannya menunaikan hasrat arwah Siti Sarah yang tidak kesampaian untuk melihat karya ciptaan Naim Daniel itu dipersembahkan di pentas berprestij berkenaan.

Klik untuk gambar besar



Nikki berkata, dia turut berdepan komen membandingkan kebolehannya menghidupkan lagu itu dengan versi arwah Siti Sarah. Apatah lagi, Allahyarham yang meninggal dunia pada 9 Ogos tahun lalu sebaik melahirkan anak keempatnya Ayash Affan akibat C0V1D itu pernah berkongsi video nyanyian santai lagu itu dengan iringan piano.

"Sewaktu arwah nyanyikan lagu itu, versinya lebih mentah dan susunan lagu pun belum tetap. Manakala terjemahan saya dalam Sudah pula memang cukup berbeza dan mengikut cara sendiri.



"Mengenali Siti Sarah, arwah adalah seorang yang akan mengalu-alukan kreativiti penyanyi lain menyanyikan lagunya. Jadi, saya yakin sudah dengan terjemahan sendiri terhadap lagu itu," katanya.

Sebelum ini, suami arwah iaitu pelawak dan usahawan Shuib Sepahtu telah berkongsi perasaannya yang sangat gembira apabila akhirnya lagu yang lama 'diperam' itu sudah ada pemiliknya iaitu Nikki. Nikki baru-baru ini turut memenangi tempat kedua Gegar Vaganza musim kelapan (GV8).

"Alhamdulillah, akhirnya sayang lagu AJL U tu dah ada yang akan nyanyi. Terima kasih @nikkipalikat. Semoga semuanya dipermudahkan. Lagu yg terlalu indah @naimdanielx Tempat @suaraacademyofficial @markadam1079 #SUDAH #bidadarisyurga," tulis Shuib.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: