22 March 2022

SAZALI SETUJU UBAH TARIKH HARI SENIMAN NEGARA, P RAMLEE 29 MEI KEPADA 22 MAC: "JIKA MASIH HIDUP, 'DADDY' JUGA BANGGA..."



"Saya bersetuju dan sokong pertukaran Hari Seniman Negara kepada hari lahir arwah bapa saya. Sebelum ini, ia disambut pada 29 Mei iaitu hari pemergian 'daddy'. Namun, saya hendak komen lebih pun tak boleh, saya bukan insan seni. Saya cuma anak kepada seniman terkenal.


"Jadi, saya ucap terima kasih kepada Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) yang mewujudkan Hari Seniman Negara ini sempena tarikh penting arwah bapa saya. Terima kasih atas kesungguhan mereka dalam terus mengangkat nama dan mengenang jasa 'daddy'," itulah tutur anak Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Sazali, 63.

Keputusan kerajaan mengubah tarikh Hari Seniman Negara daripada 29 Mei kepada 22 Mac, iaitu hari ini, bagi memperingati kelahiran Allahyarham P Ramlee, disanjung keluarga bintang legenda serba boleh yang mencipta legasi dan diangkat sebagai ikon seni negara itu.

Ujar anak P Ramlee, perubahan tarikh Hari Seniman Negara kepada detik kelahiran ayahanda tersayang memberi makna kepada sambutan hari jadi ayah yang digelar 'daddy' yang sepatutnya berusia 93 tahun hari ini, jika masih hidup.

Dalam pengumuman mengenai tarikh baharu Hari Seniman Negara, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, dilaporkan berkata, Keluarga Malaysia perlu diberi kesedaran nilai kesenimanan dalam diri Seniman Agung yang hingga kini tiada galang gantinya.

Melalui kenyataan media, Annuar menyebut, faktor nilai kesenimanan ini bukan sahaja terletak pada karya Allahyarham dalam industri perfileman sebagai pengarah, pelakon, penggubah lagu, penulis lirik, pemuzik dan pelawak yang sangat hebat, malah sebagai pemuisi, yang menjadi khazanah negara sangat berharga dan malar segar.

Sehubungan, tambahnya, bagi memperingati jasa dan sumbangan Seniman Agung sambutan Hari Seniman Negara akan diadakan pada setiap 22 Mac iaitu sempena tarikh kelahiran P Ramlee.

Klik untuk gambar besar



Signifikan perubahan tarikh sambutan Hari Seniman Negara ini adalah untuk memperingati jasa serta sumbangan beliau terhadap industri kreatif negara ini selain mengangkat karya P Ramlee yang bukan sahaja berjaya melahirkan lebih ramai tokoh dan pakar industri kreatif, malah, memperkenalkan Malaysia pada mata dunia.

Allahyarham P Ramlee atau nama sebenar, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Georgetown, Pulau Pinang pada 22 Mac 1929 ketika umat Islam meraikan 1 Syawal. P Ramlee adalah anak kepada kepada pasangan Allahyarham Teuku Nyak Puteh Teuku Karim dan Allahyarham Che Mah Hussein. Allahyarham P Ramlee berlakon dalam 66 filem dengan 35 judul di bawah arahannya dan mencipta 250 lagu.

Sazali berkata, Hari Seniman Negara bagaimanapun bukan semata-mata untuk mengangkat P Ramlee, malah, memperingati seniman lain yang sudah tiada dan mereka yang masih aktif dalam industri kreatif. Berkongsi perkembangan terkini dirinya, Sazali mengaku perasaan bercampur baur antara gembira dan sedih setiap kali terkenangkan arwah 'daddy'.

"Bukan arwah bapa saya sahaja yang perlu dikenang. Malah, semua seniman yang pernah mengharumkan nama negara seperti Allahyarham Nordin Ahmad dan sebagainya.

"Sekiranya 'daddy' masih ada, pastinya, saya gembira dan bangga hidup dengan karya-karyanya. Mana tidaknya, meskipun 'daddy' sudah tiada, filemnya masih lagi ditayangkan sehingga kini. Saya juga percaya jika 'daddy' masih hidup, dia juga berbangga dengan apa yang sudah penggiat seni usahakan sekarang.

"Malah, saya berbangga apabila arwah 'daddy' pernah buat filem untuk saya seperti Anakku Sazali, Ahmad Albab dan Anak Bapak. Itu menunjukkan kasih sayangnya kepada saya. Karya itulah yang membuatkan orang ramai kenal saya sebagai anaknya," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: