22 March 2022

ERMA FATIMA ENGGAN ULAS APA-APA BUAT MASA INI - PRESIDEN PTVM TAMPIL BERSUARA



"Maaf sangat, tetapi saya tidak dibenarkan untuk memberikan apa-apa kenyataan buat masa ini," demikianlah kata penerbit drama bersiri, 'Perempuan Itu' iaitu Erma Fatima ketika dihubungi dimana dia enggan mengulas mengenai isu video babak panas lakonan Zul Ariffin dan pelakon baru, Siti Hariesa yang tular sejak Jumaat lalu itu.


Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, setiap penerbit TV seharusnya memastikan kandungan TV yang dihasilkan tidak menyentuh sensitiviti agama seperti mana mengikut garis panduan yang dikeluarkan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).

Jurey berkata, sebagai penerbit berpengalaman, Erma pastinya arif kerana ia adalah garis panduan yang sudah dikuatkuasakan di bawah Akta Lembaga Penapisan Filem 2002 kepada semua bahan siaran TV tempatan.

Menurut Jurey lagi, PTVM berharap syarikat produksi tempatan lebih peka kepada isu sensitiviti agama dalam menghasilkan kandungan drama tempatan bukan hanya memikirkan soal meraih publisiti dan mendapat 'rating'.

"Sebagai penerbit berpengalaman, Erma Fatima pastinya arif kerana ia adalah garis panduan yang sudah dikuatkuasakan di bawah Akta Lembaga Penapisan Filem 2002 kepada semua bahan siaran TV tempatan. Setiap skrip yang digunapakai oleh pengarah adakah skrip yang sudah dipersetujui oleh penerbit dan pihak stesyen TV.

"Maka tiada isu klip tular hanyalah 'directors cut' dan bukan untuk siaran TV tempatan seperti mana kenyataan oleh pengarah drama itu. Pengarah bertanggungjawab menterjemahkan skrip kepada visual seperti yang sepatutnya ada dalam skrip. Ini menunjukan bahawa babak ini memang sudah dipersetujui oleh penerbit dan sebagai pelakon mereka hanya mengikut arahan melakonkan babak itu.

Klik untuk gambar besar



"Penerbit perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam penghasilan sesebuah drama dan memastikan pengarah menghasilkan kandungan yang sesuai untuk siaran TV tempatan. Kejadian ini diharap dapat membuka mata pihak berkuasa agama seperti Menteri Agama dan JAKIM untuk lebih mesra dan bekerjasama dengan pihak industri dalam memberi pandangan dan cadangan dalam perkara berkaitan kandungan program TV patuh syariah," katanya.

Dalam masa sama, PTVM mohon semua agensi dan pihak berkuasa yang terbabit seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan LPF dapat menyelaraskan isu kandungan TV bersama stesen TV dan pihak industri dalam memastikan penghasilan kandungan TV tempatan yang sesuai dalam membina negara bangsa Malaysia.

Sebelum ini, pengarah drama itu, Ain Sharif mendakwa adegan yang bocor itu adalah rakaman kedua yang mungkin tidak ditayangkan di televisyen dan hanya untuk tujuan publisiti.

Dalam pada itu, Zul Ariffin memaklumkan dia telah pun selesai memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Selasa berhubung babak panas berkenaan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: