29 March 2022

"SEKARANG INI MEMANG PERLUKAN BANTUAN KEWANGAN NAK BELI LAMPIN PAKAI BUANG & SUSU" - ISTERI ALI XPDC



"Dia (Fuad) ada tanya saya nak perlukan apa-apa tak. Saya kata buat masa ini lampin pakai buang dan susu. Cara dia cakap macam nak hantar, tapi dia tak dapat. Jadi dia bagi duit saja. Niat Fuad baik dan dia pun nak bantu. Sebab sekarang ini memang perlukan bantuan kewangan nak beli lampin pakai buang dan susu.


"Sekarang ini abang Ali gunakan sehari satu beg lampin. Semalam pun ada dapat sumbangan dari Melaka berupa lampin pakai buang. Dia cakap tengok di Facebook. Jadi, kalau ada yang bagi duit boleh beli susu dan lampin pakai buang. Selain itu dapat juga tampung kos perjalanan ulang alik dari rumah kami di Klang.

"Saya minta anak-anak belikan keperluan berkenaan. Sebab saya memang di hospital saja menjaga abang Ali," demikianlah tutur isteri penyanyi Ali XPDC, 53, iaitu Sharifah Azwana Syed Joned, 50, yang menyambut baik usaha dibuat rakan suaminya, Fuad Shahrin yang berkongsi perkara itu di Facebook dan ketika ini dia memerlukan bantuan dari segi kewangan, lampin pakai buang dan susu.

Ditanya mengenai kesihatan Ali yang kini dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras, di sini, Sharifah Azwana berkata, keadaan suaminya semakin baik.

Klik untuk gambar besar



"Alhamdulillah, abang Ali semakin pulih dan bertambah baik. Dia sudah dimasukkan ke hospital di sini sejak Rabu lalu. Pada Khamis dan Jumaat pula sudah mula buat fisioterapi. Baru dua hari sudah nampak perubahan. Dia sudah boleh jalan beberapa tapak walaupun menggunakan tongkat.

"Cuma masih tak boleh bercakap dengan lancar lagi. Makan dan minum susu pun menggunakan tiub sebab tekak dia masih sakit nak telan. Berdasarkan apa yang diberitahu oleh doktor, Insya-Allah abang Ali akan cepat sembuh. Semangat dia kuat. Doktor jangka akan berada di hospital selama tiga minggu. Tapi kalau semakin baik boleh keluar awal," katanya.

Terdahulu, Ali yang dimasukkan ke Hospital Ampang pada awal bulan ini dan terpaksa ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas. Ia selepas Ali tiba-tiba didapati tidak bermaya ketika mahu makan selepas selesai berlatih di studio milik pemain bass XPDC, Eddie di Pandan Indah.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: